GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM30 juta kepada usahawan dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri itu bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata peruntukan itu telah diagihkan kepada 285 usahawan melalui kemudahan Skim Pembiayaan Perniagaan MARA bertujuan membantu usahawan meningkatkan lagi kapasiti mereka dalam bidang perniagaan dan industri yang diceburi.

"Selain bantuan kepada usahawan, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menyalurkan Bantuan Persekolahan kepada 100 orang pelajar yang kurang berkemampuan meliputi tiga buah sekolah terpilih termasuk bantuan cermin mata.

"Kementerian juga memberi geran dalam bentuk kemudahan inkubator MARA melalui 'Program Start-Up Accelerator' (STAR) dalam bidang Teknologi Kreatif dan Multimedia untuk lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA yang mempunyai minat mahu meneruskan kerjaya sebagai usahawan.

"Selain itu, bantuan geran peralatan turut diberikan kepada usahawan yang telah melaksanakan perniagaan tetapi masih kekurangan modal daripada sudut peralatan dan sebagainya," katanya.

Rubiah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jom Bisnes Negeri Johor 2023 di Kompleks Usahawan Teknologi Mara, Technovation Park, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah.

Sementara itu, Rubiah berkata, Program Gate to Global (GTG) anjuran MARA membuka peluang kepada Bumiputera untuk turut bersaing di peringkat global.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 11:04 AM