RUBIAH Suparman. FOTO Arkib NSTP
RUBIAH Suparman. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Selepas pendedahan kesukaran mendapatkan kelulusan permit pekerja asing, pelakon veteran Rubiah Suparman, 74, memaklumkan dia sudah dihubungi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Rubiah berkata, perkembangan terbaru itu melegakan sedikit dilema dihadapinya dan berharap proses penyelesaiannya dipermudahkan.

"Semalam ada pegawai JIM sudah menghubungi saya untuk bertanya mengenai masalah itu. Saya pun sudah terangkan kepadanya.

"Menurut pegawai itu, dia akan cuba tolong saya. Memandangkan hari ini bukan hari bekerja, mungkin minggu depanlah (urusan) dibuat," katanya.

Kelmarin, Rubiah mendedahkan sudah memohon belas ehsan pihak berwajib agar memudahkan urusannya mendapatkan kelulusan permit pekerja asing untuk Restoran Puteri miliknya bersama anak-anak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.

Rubiah berkata, dia sudah menggunakan saluran yang betul apabila berurusan dengan Kementerian Dalam Negeri, JIM dan Kementerian Sumber Manusia untuk permohonan mendapatkan pekerja dan permit bagi pekerja asing, namun masih menemui jalan buntu.

Menurutnya, ejen boleh menguruskan perkara ini tetapi kosnya agak tinggi apabila mengenakan caj sebanyak RM1,000 seorang untuk syarat kuota.

Rubiah berkata, Restoran Puteri di TTDI sudah beroperasi selama 20 tahun dan mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan.

Terdahulu, dia terpaksa menutup operasi Restoran Puteri di Brickfields, di sini, yang dikongsi bersama penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan pada 10 Ogos lalu.

Ia berikutan restoran berusia 37 tahun yang dibuka sejak 1984 ini tidak mampu lagi menanggung kadar sewa yang tinggi pada masa pandemik Covid-19 yang kini hampir berlarutan dua tahun.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 1:09 PM