DR Hasnita Hashim. FOTO Rosela Ismail
DR Hasnita Hashim. FOTO Rosela Ismail
Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Program Gate to Global (GTG) yang dilaksanakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sejak 2017 terbukti berjaya membantu usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran global dengan cemerlang.

Pengerusinya, Dr Hasnita Hashim berkata, program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan keupayaan usahawan dalam aspek pembangunan produk, pengukuhan penjenamaan dan pemasaran strategik yang dapat membawa produk tempatan ke pasaran dunia.

Katanya, usaha GTG termasuklah dengan membawa usahawan di bawah MARA untuk menyertai pelbagai acara antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang dianjurkan setiap tahun bermula 2004.

Menurutnya, bermula 2017, penyertaan MARA bersama usahawan di bawah bimbingannya diperhebatkan dengan Pavilion Program GTG yang mana sebanyak 16 usahawan terbabit pada 2018 dan 24 usahawan pada penganjuran MIHAS 2019.

“Saya melihat potensi industri halal global masih belum diterokai sepenuhnya syarikat Bumiputera tempatan.

“Malah, berdasarkan kepada data daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri, penyertaan Bumiputera yang memperoleh sijil halal adalah pada kadar 32 peratus saja,” katanya kepada Bisnes Metro.

Hasnita berkata, beliau percaya perkara itu berkemungkinan disebabkan pelbagai faktor dan cabaran seperti kekurangan ilmu pengetahuan mengenai akses kepada pasaran global, kekurangan modal serta kapasiti pengeluaran.

Selain itu, katanya, beberapa isu seperti penjenamaan produk yang tidak mencapai piawaian antarabangsa serta strategi pemasaran dan promosi yang tidak menyeluruh dan strategik turut menjadi penyebab mengapa usahawan Bumiputera hanya tertumpu kepada pasaran domestik.

“Justeru, program GTG dijangka dapat membantu untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat Bumiputera dalam menembusi pasaran antarabangsa dengan bantuan pembangunan produk dan penjenamaan daripada MARA,” katanya.

Semua usahawan yang terbabit dengan program GTG itu sudah melalui fasa latihan dan bimbingan yang mempersiapkan mereka dengan status export ready.

Menurutnya, usahawan juga akan diberikan bantuan dari segi pengembangan akses pasaran antarabangsa daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta bantuan kemudahan pembiayaan hasil kerjasama MARA dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Katanya, usahawan juga akan didedahkan dengan proses penting bagi eksport dan kaedah berurusan dengan pembeli berpotensi di luar negara supaya segala urusan padanan perniagaan dapat mencapai kata sepakat kepada pihak pembeli dan juga usahawan terbabit.

MARA, menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) mengadakan program GTG dengan usaha sama strategik dengan Matrade di mana, MARA akan menyaring, memilih, membimbing dan memudah cara calon usahawan yang berkelayakan dan bersedia untuk menerokai pasaran eksport.

MARA turut mempunyai program Latihan Keusahawanan dengan modul khusus untuk melatih bakal usahawan baharu yang ingin menceburi bidang perniagaan ataupun graduan yang memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

“Usaha pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan MARA adalah sangat signifikan kerana mempunyai ekosistem yang lengkap serta mudah diakses oleh semua golongan termasuklah usahawan dari luar bandar,” katanya.

Usahawan Bumiputera yang memerlukan bantuan atau khidmat nasihat boleh berbuat demikian di 14 Pejabat MARA Negeri dan 117 Pejabat MARA Daerah yang ada di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 9:00 AM