Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: John Holland Gamuda Joint Venture (JHGJV), syarikat usaha sama (JV) Gamuda Bhd dan firma berpejabat di Australia John Holland Pty Ltd, memperoleh kontrak bernilai A$1.029 bilion (RM3.03 billion) bagi kerja-kerja sambungan Lebuhraya M1 ke Raymond Terrace: Black Hill ke Tomago Works.

Kontrak bagi reka bentuk dan pembinaan daripada Transport bagi New South Wales, entiti pemerolehan untuk kerajaan New South Wales (NSW) di Australia, dijangka menjana perolehan hasil sebanyak RM1.21 bilion bagi kumpulan pembinaan itu.

"Aspek perancangan serta reka bentuk terperinci akan bermula serta-merta dengan kerja-kerja bagi tujuan penyiasatan tapak serta utiliti pada pertengahan 2023," kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

John Holland memiliki 60 peratus kepentingan dalam JHGJV manakala bakinya dipegang oleh Gamuda.

Selain itu, Gamuda berkata, skop kerja-kerja terbabit turut merangkumi laluan lebuh raya berkembar baharu sejauh 10 kilometer antara Laluan M1 di Beresfield dan Tomago serta persimpangan utama di Black Hill, Tarro dan Tomago.

Syarikat JV tersebut juga perlu membina sembilan jejambat termasuk sebuah jejantas sepanjang kira-kira 2.6 kilometer merentasi Sungai Hunter dan kawasan dataran banjir.

Dalam tempoh pembinaan itu, projek tersebut akan memberi manfaat sosial dalam kalangan komuniti tempatan serta Wilayah Hunter yang lebih luas di NSW.

Sementara itu, dagangan saham dan waran berstruktur Gamuda di Bursa Malaysia telah digantung mulai 11.18 pagi ini.

Dalam kenyataan berasingannya, kumpulan itu berkata dagangan tersebut akan disambung semula pada 2.30 hari ini.

Pada 11.48 pagi, saham-saham Gamuda berharga RM3.66 seunit dengan 366,700 saham saling berpindah tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 3:41 PM