Gamuda catat keuntungan tunai sekali sahaja berjumlah RM1 bilion daripada pelupusan empat lebuh raya yang berjaya diselesaikan pada Oktober lalu.
Gamuda catat keuntungan tunai sekali sahaja berjumlah RM1 bilion daripada pelupusan empat lebuh raya yang berjaya diselesaikan pada Oktober lalu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gamuda Bhd mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM1.17 bilion pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2022 berbanding RM152.37 juta setahun lalu selepas disokong oleh keuntungan tunai sekali sahaja berjumlah RM1 bilion daripada pelupusan empat lebuh raya yang berjaya diselesaikan pada Oktober lepas.

Perolehan meningkat 90 peratus kepada RM1.31 bilion daripada RM687.93 juta, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Gamuda ketika mengulas mengenai prospek menjangkakan prestasi tahun ini akan didorong oleh jualan hartanah, kemajuan kerja dalam projek Sydney Metro West - Pakej Terowong Barat dan Coffs Harbour Bypass di Australia termasuk kerja-kerja penyiapan MRT Laluan Putrajaya berikutan penjualan empat lebuh raya kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd pada Oktober 2022.

Melangkah ke hadapan, daya tahan kumpulan akan disokong oleh tempahan dalam tangan yang agak besar iaitu mencecah hampir RM15 bilion dan jualan hartanah belum dibil sebanyak lebih kurang RM6 bilion.

"Selain itu, kumpulan mempunyai kunci kira-kira yang sihat dengan kedudukan lebihan tunai bersih selepas selesai penjualan lebuh raya," katanya.

Sementara itu, Gamuda turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak enam sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023.

Lembaga pengarah juga telah menetapkan bahawa pelan pelaburan semula dividen (DRP), yang telah diluluskan oleh pemegang saham, harus termaktub kepada dividen interim pertama yang mana pemegang saham akan diberi peluang untuk melabur semula dividen interim pertama mereka ke dalam saham baharu.

Ia menambah bahawa penyenaraian dan sebut harga bagi saham baharu yang akan dikeluarkan menurut DRP adalah tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd yang mana, permohonan akan dikemukakan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 1:56 PM