Bangunan Balai Berita Bangsar.
Bangunan Balai Berita Bangsar.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM5.2 juta pada suku pertama tahun 2022, yang berakhir pada 31 Mac 2022 (1QFY22), meningkat sebanyak 26 peratus dari RM4.2 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Perolehan kumpulan kekal bertahan dengan penurunan kecil sebanyak 3.0 peratus iaitu RM247.5 juta pada 1QFY22, berbanding RM254.5 juta pada 1QFY21 .

Perolehan Media Prima dibantu dengan peningkatan sebanyak 14 peratus dari perolehan pengiklanan, mencatatkan RM174.4 juta bagi tempoh tinjauan berbanding dengan RM152.3 juta pada 1QFY21.

Perkhidmatan pengiklanan Kumpulan dipacu oleh Media Prima Omnia (Omnia), dengan strategi bersepadu yang memanfaatkan jenama-jenama popular Media Prima dan capaian yang tinggi, yang merentas pelbagai platform media.

Perolehan pengiklanan dari keseluruhan segmen perniagaan Kumpulan bertambah baik hasil sumbangan yang tinggi dari perniagaan penyiaran Kumpulan.

Segmen penerbitan Kumpulan, The New Straits Times Press (NSTP) juga mencatatkan hasil

pengiklanan lebih baik pada 1QFY22 berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Perniagaan pengiklanan-luar-rumah Media Prima, Big Tree, mencatatkan kenaikan perolehan sebanyak 13 peratus pada 1QFY22 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, berikutan pembukaan semula sektor ekonomi dan permintaan yang beransur pulih bagi segmen pengiklanan luar.

Perolehan jualan kandungan juga meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh tinjauan selama tiga bulan, berikutan kenaikan permintaan untuk lebih banyak kandungan tempatan daripada perkhidmatan penstriman yang sedia ada atau baru.

Segmen digital Kumpulan, REV Media Group (RMG), mencatatkan kenaikan perolehan sebanyak 22 peratus iaitu RM23.5 juta dalam 1QFY22 berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Media Prima kekal menjadi penerbit digital yang terkemuka, dengan kejayaan pencapaian RMG melebihi 15.8 juta rakyat Malaysia setiap bulan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, pihaknya berpuas

hati dengan pencapaian bagi 1QFY22.

"Pencapaian ini telah disokong oleh hasil sumbangan perolehan pengiklanan yang amat tinggi merentas semua segmen perniagaan, menunjukkan bahawa kita telah mewujudkan strategi dan pasukan jualan yang berdaya saing di bawah Omnia.

"Kumpulan percaya dan yakin bahawa Omnia akan mendapat manfaat dari pembukaan semula ekonomi yang telah mendorong pengiklan meningkatkan perbelanjaan pengiklanan mereka.

"Kita juga amat gembira dengan prestasi segmen penyiaran dan digital yang telah menyumbang dengan ketara kepada pendapatan keseluruhan kumpulan ini.

"Semua ini memberikan kita keyakinan bahawa kita sedang berada di posisi yang lebih kuat untuk

memberi lebih banyak lagi sebagai syarikat media bersepadu.

"Tanpa keadaan yang tidak dijangka, kita kekal optimistik untuk prestasi pada suku-suku yang akan datang dan kita akan beriltizam untuk terus memberikan perkhidmatan yang luar biasa kepada semua pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, Kumpulan melangkah ke tahun 2022 dengan mencatatkan keuntungan pada suku pertama berikutan prestasi positif pada tahun 2021, walaupun tempoh tinjauan ini merupakan tempoh yang secara amnya mencabar dari aspek kewangan.

"Ini membuktikan bahawa Kumpulan akan kekal berdaya tahan walaupun dengan landskap media yang

sering berubah dengan pantas.

"Namun, dengan peningkatan cabaran dan persaingan akan terus berkembang, kita akan terus menyesuaikan dan melakukan pembaharuan untuk memastikan Media Prima dapat memberikan yang terbaik kepada pengiklan, dan kepada 98 peratus isi rumah rakyat Malaysia yang kita santuni," katanya.

Menurutnya, sebagai pengeluar kandungan terbesar, Kumpulan akan terus menitikberatkan penciptaan kandungan, untuk memenuhi permintaan kandungan tempatan dari perkhidmatan penstriman global.

"Melangkah ke hadapan, matlamat kami adalah untuk mewujudkan lebih banyak sinergi di seluruh perniagaan kami untuk menampilkan nilai kami sebagai kumpulan media bersepadu terkemuka di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 5:33 PM