Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM12.7 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2021 (2QFY21) mewakili lonjakan positif daripada kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM18 juta bagi tempoh suku tahunan dalam perbandingan (2QFY20).

Ini dicapai melalui peningkatan sebanyak 24 peratus dalam perolehan kumpulan kepada RM292.4 juta pada 2QFY21 berbanding RM236.3 juta pada 2QFY20 yang dipacu oleh perolehan pengiklanan yang lebih tinggi biarpun cabaran berterusan dikaitkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara akibat peningkatan semula kes Covid-19.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 (1HFY21), kumpulan mencatatkan PAT berjumlah RM16.8 juta berbanding LAT sebanyak RM48 juta pada tempoh dalam perbandingan (1HFY20).

Perolehan kumpulan meningkat 15 peratus kepada RM547.0 juta pada 1HFY21 daripada RM474.7 juta pada 1HFY20.

Prestasi kumpulan mencatatkan peningkatan perolehan pengiklanan sebanyak 22 peratus pada 1HFY21 daripada RM280.7 juta pada 1HFY20 yang diterajui oleh bahagian jualan perniagaan bersepadunya, Media Prima Omnia.

Walaupun industri terkesan dengan cabaran berterusan, segmen penerbitan kumpulan, The New Straits Times Press (NSTP) dapat mempertahan perolehan keseluruhannya pada 1HFY21.

Ia mencatatkan sedikit penurunan perolehan sebanyak 4.0 peratus disebabkan penurunan penjualan suratkhabar namun mencatatkan peningkatan perolehan bagi perkhidmatan percetakan dan pengagihan suratkhabar.

Bagi 2QFY21, NSTP mencatatkan PAT berjumlah RM1.1 juta yang dipacu oleh peningkatan perolehan pengiklanan sebanyak 50 peratus berbanding 2QFY20 dan juga disokong oleh struktur kos yang lebih optimal.

Pengerusi Kumpulan, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, keputusan kewangan Kumpulan merekodkan prestasi yang mantap sekali lagi dengan keuntungan empat suku tahunan berturut-turut.

"Kami juga mencatatkan perolehan pengiklanan yang lebih kukuh biarpun berhadapan suasana ekonomi mencabar akibat pandemik.

"Kami berbangga dengan kejayaan kakitangan di Unit Penjualan, Media Prima Omnia yang mempamerkan keupayaan mereka bukan sahaja dalam menjual ruang pengiklanan, malah berjaya menyediakan solusi jualan yang lebih menyeluruh mengikut permintaan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihaknya percaya perbelanjaan pengiklanan yang sedang meningkat akan berterusan di suku-suku

tahunan yang berbaki pada tahun ini disokong dengan pembukaan sektor ekonomi secara berfasa.

"Namun, kami sentiasa berwaspada dengan cabaran pada masa hadapan dan akan memantau dengan

teliti kecekapan operasi Kumpulan di samping menambahbaik keupayaan kami untuk terus bersaing," katanya.

Susulan kepada tempoh dalam kajian, Media Prima akan terus fokus untuk mempertingkatkan sinergi

dan memanfaatkan kekuatan perniagaan medianya.

Pada Julai 2021, ia telah melancarkan pakej pengiklanan #KitaMalaysia kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan tempatan melalui platform-platform di Media Prima.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Rafiq Razali berkata, walaupun berhadapan impak Covid-19, pihaknya berpuas hati dengan prestasi 1HFY21 yang mempamerkan momentum kukuh dan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan di beberapa segmen.

"Perolehan pengiklanan meningkat di seluruh Kumpulan, terutamanya pengiklanan televisyen. Segmen penerbitan mencatatkan keuntungan suku tahunan yang pertama sejak tahun 2018 dan kami komited untuk mengekalkan kedudukan ini melalui inisiatif-inisiatif pengoptimum kos yang berterusan serta mendapatkan lebih peluang dalam kontrak percetakan.

"Kami juga akan terus mengembangkan pangkalan audiens melalui kolaborasi penting baru-baru ini dengan Disney+ Hotstar, menjadikan karya kandungan drama dan filem tempatan lebih mudah diakses oleh peminatnya.

"Dalam misi kami untuk terus kekal relevan, kami percaya bahawa perubahan yang dilaksanakan di segmen penyiaran - televisyen dan radio - akan menyajikan audiens dengan kandungan hiburan lebih baik dan terkini.

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan pertumbuhan positif ini akan berterusan dalam tempoh enam bulan yang berbaki pada tahun ini," katanya.

Menurutnya, menitikberatkan aspek nilai kemanusiaan, Media Prima terus komited untuk membantu komuniti dan insan-insan yang memerlukan bantuan melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP yang mendapat

dana melalui sumbangan orang ramai.

"Pada 2QFY21, sebanyak RM2.7 juta dana dikumpulkan dan RM1.5 juta digunakan untuk membiayai kos pembedahan mereka yang memerlukan dan juga pembelian peti sejuk muatan atas untuk Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu pelaksanaan program imunisasi Covid-19 Nasional.

"Selari dengan usaha kami untuk terus mengembangkan perniagaan Kumpulan, kami juga akan terus mempertingkatkan usaha untuk membantu lebih banyak komuniti dan insan yang memerlukan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 7:01 AM