Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebanyak empat penerbangan disediakan setiap hari sebagai permulaan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin atau Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Pulau Pinang dan Singapura yang bermula esok.

Antara syarikat penerbangan yang mengendali perkhidmatan itu ialah AirAsia, Malaysia Airlines, Scoot dan Singapore Airlines.

Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Mohd Nadzim Hashim berkata, pihaknya juga bersedia sepenuhnya bagi menerima kehadiran penumpang menerusi inisiatif VTL termasuk daripada segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Inisiatif itu membabitkan penerbangan yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Changi serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

"Kami menjangka penambahan penumpang susulan hanya dua penerbangan antarabangsa di LTAPP sebelum VTL iaitu membabitkan penerbangan dari Singapura dan Taiwan," katanya kepada pemberita sempena pelancaran VTL antara Pulau Pinang dan Singapura di sini hari ini. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin.

Beberapa wakil syarikat penerbangan yang hadir menyatakan penjualan tiket bagi permulaan VTL Pulau Pinang-Singapura amat memberangsangkan namun tidak mendedahkan jumlah tiket penerbangan yang terjual setakat ini.

Sementara itu Soon Hin berkata, pihaknya sudah memastikan bahawa kawalan SOP sudah dilakukan dengan ketat dan ia diterima baik oleh penumpang.

"Namun kita tidak dapat beri anggaran peratusan pengembara ke Pulau Pinang dengan tepat dan pesawat pertama menerusi penerbangan Air Asia dari Singapura dijangka tiba pada jam 1.15 tengahari esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 2:21 PM