LONJAKAN  226 peratus susulan penamatan sekatan perjalanan domestik.
LONJAKAN 226 peratus susulan penamatan sekatan perjalanan domestik.

Kuala Lumpur: Pergerakan penumpang domestik bulanan di rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di negara ini meningkat tiga kali ganda kepada 1.18 juta orang pada Oktober lalu berbanding 362,000 orang pada bulan sebelumnya.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, lonjakan sebanyak 226 peratus itu adalah susulan daripada penamatan sekatan perjalanan domestik yang turut menyaksikan kumpulan itu buat pertama kali mencatatkan pergerakan lebih sejuta penumpang di Malaysia pada tahun ini.

"Selain itu, gabungan operasi kumpulan MAHB di Malaysia dan Turki merekodkan sejumlah 4.1 juta pergerakan penumpang pada bulan lepas iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding September.

"Pengumuman kemudahan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura selain gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi serta koridor perjalanan antara Malaysia dan Indonesia akan turut meningkatkan pergerakan penumpang dalam bulan-bulan akan datang.

"Inisiatif kerajaan-dengan-kerajaan (G2G) bagi kemudahan perjalanan antarabangsa sudah semestinya akan menyumbang kepada pemulihan industri penerbangan yang terjejas teruk akibat pelaksanaan sekatan perjalanan susulan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, MAHB juga optimis mengenai permintaan berterusan terhadap perjalanan sama ada bagi tujuan perniagaan atau riadah.

Bagi pihak penggiat industri, Iskandar Mizal berkata, MAHB perlu memastikan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan secara ketat serta dipatuhi agar penumpang dapat menikmati perjalanan dengan lebih tenang tanpa sebarang kekurangan dalam tahap perkhidmatan yang diberikan.

Menurutnya, sebelum berlakunya Covid-19, laluan KLIA-Changi adalah laluan penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia bagi dua tahun berturut-turut iaitu 2018 dan 2019 dengan merekodkan lebih 30,000 penerbangan setahun.

Malah, beliau yakin permintaan sama akan terus kekal bagi laluan berkenaan.

Selain itu, aset MAHB di Turki iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) juga secara konsisten mencatatkan aliran pergerakan penumpang yang menggalakkan, sekali gus menggambarkan pemulihan Turki yang ketara dalam sektor penerbangan.

Pada Oktober 2021, ISG merekodkan sebanyak 2.7 juta penumpang bagi pergerakan penumpang antarabangsa iaitu meningkat 13 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Kadar vaksinasi Turki yang tinggi iaitu 72.4 peratus membabitkan penduduk dewasa serta pelancaran vaksin Covid-19 sendiri dikenali Turkovac, turut meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk mengunjungi negara itu. Secara keseluruhannya, ISG kekal menjadi penyumbang utama sebanyak 66 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang kumpulan MAHB.

Dalam pada itu, dari segi operasi kargo, MAHB telah mencatatkan sebanyak 869,445 tan metrik kargo sehingga Oktober lalu - peningkatan ketara sebanyak 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Penggiat kargo tempatan, My Jet Xpress Airlines Sdn Bhd telah mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kapasiti kekuatannya menerusi tambahan dua pesawat pada Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 7:03 AM