FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Komitmen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pasaran domestik menunjukkan bahawa ia melihat nilai yang baik dan peluang pertumbuhan di semua peringkat kitaran pelaburan daripada pengumpulan dana tawaran awam permulaan (IPO) hinggalah kepada pemegangan saham jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pelabur institusi seperti KWSP serta pelabur asing dan runcit memainkan peranan penting bagi memastikan pasaran ekuti Malaysia kekal berada dalam radar pelabur global.

"Beserta dengan pemulihan ekonomi dan kembalinya semula minat asing di pasaran sedang pesat membangun, kita boleh menjangkakan lebih banyak aktiviti dagangan dalam pasaran modal Malaysia tahun ini," katanya kepada Bernama.

Muhamad Umar berkata demikian sebagai mengulas mengenai rancangan KWSP untuk meningkatkan pelaburannya dalam pelbagai kelas aset domestik pada 2022 susulan pembukaan semula sektor ekonomi dan perniagaan di negara ini.

Pada minggu lepas Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dana pencen itu merancang memperuntukkan RM1 bilion tahun ini untuk melabur dalam syarikat yang berada di tahap pra-IPO.

"Kita belum melihat rangsangan yang mencukupi memasuki Bursa (Malaysia). Kita melihat perangkap pelaburan yang mana syarikat beralih daripada pasaran modal teroka kepada pra-IPO, jadi terdapat jurang dalam pasaran.

"Menuju ke tahap seterusnya pra-IPO, terdapat tahap yang mana KWSP boleh menyertainya kerana kami melihat bahawa kami boleh menguruskan elemen risiko dan kami melihat pulangan yang agak baik pada tahap itu.

"Kami bekerjasama dengan dana khusus bagi mempromosikannya dan kami mencari syarikat yang berada pada tahap itu," katanya semasa taklimat media mengenai prestasi kewangan KWSP 2021.

Amir Hamzah berkata sebagai pelabur utama dalam pasaran kewangan Malaysia, langkah tersebut dapat membantu dari segi memangkin kegiatan ekonomi selain berperanan dalam pemulihan ekonomi negara.

Baru-baru ini, Pensyarah Kanan Putra Business School Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff memberitahu Bernama bahawa KWSP komited untuk melabur sekitar RM64 bilion dalam pelbagai kelas aset domestik pada tahun ini.

"Selaku pelabur utama dalam pasaran kewangan negara ini, ia akan membantu memangkin aktiviti ekonomi dan akan terus membantu pemulihan ekonomi. Ini akan turut membantu menggalakkan pertumbuhan, mewujudkan peluang pekerjaan selain meningkatkan hasil cukai negara," katanya.

Ahmed Razman berkata, Malaysia juga diunjur mencatat pemulihan ekonomi tahun ini susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa serta kadar pemberian vaksin domestik yang juga antara terbaik di dunia.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway Prof Yeah Kim Leng berkata tindakan menyokong syarikat-syarikat berkualiti sebelum IPO merupakan satu sinergi yang dapat merangsang pasaran saham selain membantu syarikat tempatan untuk mendapat akses terhadap pasaran.

Malah, katanya, ini juga dapat membolehkan orang awam yang melabur untuk turut serta dalam prospek pertumbuhan syarikat berkenaan.

"Sebagai dana persaraan, objektif pelaburan KWSP adalah memelihara modal menerusi pelaksanaan amalan pengurusan yang baik secara berterusan serta strategi pempelbagaian risiko secara berhemat.

"Mengambil kira peningkatan risiko dan ketidaktentuan pasaran global, adalah wajar untuk meningkatkan pelaburan dalam pasaran tempatan seiring dengan jangkaan ekonomi dan pasaran kewangan domestik yang lebih baik bagi tahun ini," katanya.

Bagaimanapun, Yeah menyifatkan strategi yang saling menguntungkan itu memerlukan kemahiran pelaburan yang baik, ketangkasan perniagaan dan keobjektifan dalam mengenal pasti syarikat-syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan.

Beliau berkata dana itu perlu dielakkan daripada digunakan sebagai medium oleh usahawan untuk mengeluarkan wang selepas disenaraikan.

"Memandangkan tidak banyak penyenaraian baharu di bursa tempatan, dedahan KWSP kepada segmen aset ini dijangka tidak meluas, namun, ia dapat memperkukuh kepelbagaian aset KWSP dan menawarkan pulangan lebih tinggi berikutan pada kebiasaannya, entiti meningkatkan penilaian pasaran mereka secara gandaan apabila disenaraikan.

"Selain merancakkan bursa tempatan dengan penyertaan sebagai 'pelabur utama,' orang ramai yang melabur juga mempunyai keyakinan lebih besar untuk melabur dalam IPO sedemikian, justeru, meningkatkan mudah tunai pasaran saham," katanya.

Sebaliknya, menurut Yeah, memandangkan KWSP menjadi pelabur institusi yang sangat dominan dan dipercayai, pasaran IPO mungkin tertakluk pada 'semangat yang berlebih-lebihan,' yang tidak memberi kebaikan kepada pasaran saham dan kestabilan kewangan.

Bagaimanapun, beliau berkata, apabila semakin banyak syarikat menerima akses kepada modal baharu, syarikat tersebut akan berupaya mengembangkan pengeluaran dan aktiviti perniagaan, sekali gus merangsang pemulihan ekonomi dan meningkatkan daya tahan syarikat dengan modal dipertingkatkan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed menyifatkan cadangan KWSP adalah langkah strategik untuk memperkukuh ekuiti domestik.

"Ekuiti global, terutamanya Amerika Syarikat dan Eropah akan terus mengalami tekanan dan ke arah pembetulan besar. Ekuiti Malaysia -- meskipun kecil -- mempunyai potensi kenaikan dengan penilaian menarik.

"Ia akan membantu ekonomi domestik dan merangsang prospek bagi kelas aset di peringkat tempatan. Seperti kata pepatah, dalam tempoh yang sukar, rumah adalah lokasi paling selamat," katanya.

Beliau menambah, langkah itu akan turut memberikan isyarat positif kepada pasaran bahawa pelabur tempatan mempunyai keyakinan terhadap ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 6:07 PM