ANWAR  menyampaikan ucapan pada majlis perasmian InvestED. FOTO Aswadi Alias
ANWAR menyampaikan ucapan pada majlis perasmian InvestED. FOTO Aswadi Alias
Mahaizura Abd Malik dan Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Kuala Lumpur: Kerajaan memperkenalkan tiga tonggak utama dalam usaha meningkatkan pasaran modal bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta menggalakkan simpanan dan kemasukan pelaburan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta pihak berkaitan termasuk maklum balas daripada Bursa Malaysia dan industri pasaran modal bagi mencapai matlamat berkenaan.

"Satu ialah mewujudkan kerancakan pasaran dengan peluang penyertaan yang lebih besar untuk rakyat dengan meluaskan pelaburan mampu milik. Saya mengumumkan duti setem bagi saham yang didagangkan di Sekuriti Bursa Malaysia dikurangkan daripada 0.15 peratus kepada 0.10 peratus daripada nilai kontrak dengan had maksimum RM1,000 berkuat kuasa Julai ini.

"Kedua, di bawah tonggak dua bertujuan menarik kumpulan pelabur yang lebih besar untuk menyokong pembiayaan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Ekonomi Baru, MOF dan SC akan melihat dasar untuk mencapai beberapa perkara termasuk memudahkan dan menarik penubuhan pejabat keluarga di Malaysia," katanya pada Majlis Pelancaran Program Bakat Pasaran Modal Untuk Graduan (investED) di SC, di sini, hari ini.

Usaha korporat untuk memacu pelaburan langsung domestik (DDI) yang lebih besar turut digalakkan melalui dasar cukai dan insentif lebih memudahkan, katanya.

Contohnya, membolehkan kerugian cukai daripada usaha korporat digunakan oleh syarikat induk untuk menolak pelaburan mampan lain dalam kumpulan.

Selain itu, MOF dan SC juga akan meluaskan definisi pelabur sofistikated dengan membabitkan sekali angel investors, modal teroka dan ekuiti persendirian.

Anwar berkata, tonggak ketiga ialah pembaharuan struktur untuk pasaran modal Malaysia dan transformasi ekonomi.

"Sebagai permulaan, bagi menggalakkan lebih banyak syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia, SC dan Bursa Malaysia akan melaksanakan pembaharuan tahun ini bagi memudahkan dan mempercepatkan penyenaraian di Bursa Malaysia.

"Ini akan dilakukan dengan mempercepatkan proses tawaran awam permulaan (IPO) dan mengurangkan masa untuk pasaran bagi memastikan daya saing dan daya tarikan Malaysia.

"Kerajaan ini juga akan melakukan semua yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan inklusif dan mampan, sebuah ekonomi terbuka yang menghormati aliran kewangan bebas.

"Untuk terus menggalakkan pertumbuhan domestik, Kabinet akan mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan untuk perniagaan seperti permohonan untuk ekspatriat mahir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 3:14 PM