GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: RHB Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM2.62 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021, meningkat kira-kira 29 peratus daripada RM2.03 bilion pada 2020, antaranya didorong oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi serta elaun yang lebih rendah untuk kerugian kredit.

Bagaimanapun, perolehan itu sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, kata bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Untuk tahun kewangan 2021, RHB Bank mencatatkan hasil sebanyak RM11.75 bilion berbanding RM12.50 bilion pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 64.65 sen daripada 50.69 sen sebelumnya.

Pendapatan berasaskan dana bersih RHB Bank meningkat kepada RM5.87 bilion, dipacu oleh pengurusan kos pendanaan yang proaktif yang menyusut 24.1 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan akaun semasa akaun simpanan (Casa) sebanyak 4.5 peratus.

Margin faedah bersih bagi tahun itu ialah 2.14 peratus berbanding 2.06 peratus yang dicatatkan tahun lepas.

Sementara itu, pendapatan bukan berasaskan dana merosot kepada RM2.16 bilion, terutamanya daripada pendapatan pembrokeran, dagangan bersih dan pendapatan pelaburan yang rendah, diimbangi oleh lebihan taja jamin insurans yang lebih tinggi serta pertumbuhan pendapatan yuran daripada pasaran modal, pengurusan aset dan perbankan komersial.

Pegawai yang bertanggungjawab dan pegawai utama RHB Banking Group Mohd Rashid Mohamad berkata, kumpulan itu kekal berhemat dalam menguruskan kualiti asetnya sambil terus meningkatkan tadbir urus dan amalan pengurusan risikonya.

Beliau menambah bahawa kedudukan modal dan kecairan kumpulan untuk tahun kewangan 2021 kekal kukuh dan ia juga sudah meningkatkan usaha dalam menggalakkan pemulihan ekonomi, termasuk mengambil pendekatan holistik dalam membantu pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang berpanjangan melalui pelbagai bentuk bantuan kewangan.

"Setakat 31 Januari, 2022, program bantuan pembayaran balik kami sudah pun memanfaatkan kira-kira 85,000 pelanggan RHB yang mana lebih 6,300 daripadanya adalah pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan jumlah bantuan bayaran balik tertunggak sebanyak RM21.3 bilion, bersamaan 12 peratus daripada pinjaman dan pembiayaan domestik kumpulan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu bagi tahun kewangan 2021, pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan itu meningkat 6.7 peratus tahun ke tahun kepada RM198.5 bilion, disokong terutamanya oleh pertumbuhan dalam gadai janji, pembiayaan auto, perusahaan kecil dan sederhana, komersial dan perniagaan Singapura, manakala pinjaman dan pembiayaan domestik meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun.

Deposit pelanggan turut meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun kepada RM218.7 bilion, terutamanya disumbangkan oleh pertumbuhan deposit tetap dan masa pasaran sebanyak sembilan peratus dan Casa, 4.5 peratus.

RHB Bank mencadangkan dividen akhir sebanyak 25 sen sesaham, terdiri daripada tunai 15 sen dan bahagian boleh pilih sebanyak 10 sen tertakluk kepada pelan pelaburan semula dividen.

Bagi tahun kewangan 2021, jumlah dividen adalah 40 sen sesaham atau pembayaran 62.9 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 6:13 PM