Khairussaleh (kiri) pada pengumuman prestasi kewangan RHB Bank. FOTO Rosdan Wahid
Khairussaleh (kiri) pada pengumuman prestasi kewangan RHB Bank. FOTO Rosdan Wahid
Suffian A Bakar


RHB Bank Bhd, yang kira-kira 40 peratus sahamnya dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan keuntungan bersih terkumpul berjumlah RM2.305 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan 2018, meningkat 18.2 peratus berbanding RM1.950 bilion tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat kepada RM12.690 bilion berbanding RM11.869 bilion setahun lalu, sekali gus meneruskan prestasi kewangan cemerlang yang dicatatkan kumpulan perbankan tempatan tahun lalu.

Berikutan prestasi itu, RHB Bank mencadangkan dividen akhir 13.0 sen sesaham dengan pembayaran dividen sebanyak 35.7 peratus daripada keuntungan bagi tahun kewangan 2018.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2018, RHB Bank mencatatkan keuntungan bersih RM565.42 juta, meningkat 22.9 peratus berbanding RM460.07 juta suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan pada suku dikaji meningkat kepada RM3.309 bilion berbanding RM3.074 bilion suku sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli dalam pengumuman prestasi kewangan RHB di Kuala Lumpur hari ini berkata, peningkatan keuntungan itu disumbangkan peningkatan dalam pendapatan berasaskan dana bersih sebanyak 8.5 peratus kepada RM4.94 bilion berbanding setahun lalu.

Selain itu katanya, ia turut disumbang peningkatan dalam pendapatan bukan berasaskan dana 1.8 peratus kepada RM1.86 bilion, disumbang sebahagian besarnya oleh keuntungan tukaran asing dan dagangan, selain pendapatan pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:42 PM