KEUNTUNGAN bersih RHB Bank Bhd merosot kepada RM600.27 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, daripada RM650.29 juta. FOTO Arkib NSTP
KEUNTUNGAN bersih RHB Bank Bhd merosot kepada RM600.27 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, daripada RM650.29 juta. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd merosot kepada RM600.27 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, daripada RM650.29 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, kumpulan itu melaporkan keuntungan sebelum cukai yang lebih baik sebanyak RM890.55 juta untuk tiga bulan pertama berbanding RM863.96 juta setahun sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh pendapatan pembiayaan bersih lebih tinggi, kerugian pengubahsuaian lebih rendah, perbelanjaan operasi lebih rendah dan elaun kredit lebih rendah diimbangi oleh pendapatan berasaskan bukan dana yang lebih rendah.

Sementara itu, hasil susut kepada RM2.86 bilion daripada RM2.90 bilion sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam satu kenyataan yang berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Rashid Mohamad berkata prestasi suku pertama adalah memberangsangkan walaupun dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

"Asas kami kekal kukuh dan ini ia ditunjukkan menerusi nisbah modal dan tahap mudah tunai kami yang kukuh. Kualiti aset kami kekal kukuh dengan kerugian pinjaman yang sihat sebanyak 125.7 peratus.

"Melangkah ke hadapan, kami akan kekal berhemat dalam mengurus perniagaan dan akan memberi tumpuan kepada memacu pertumbuhan secara bertanggungjawab serta mengurus kualiti aset kami," katanya.

Mohd Rashid berkata bank itu juga akan terus memberikan bantuan yang sewajarnya kepada pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata bank itu menjangka pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dalam tahun kewangan semasa berdasarkan kadar vaksinasi yang tinggi di Malaysia dan pembukaan semula semua aktiviti ekonomi.

"Bagi menangani perubahan pantas dalam tingkah laku pelanggan terutamanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah melancarkan strategi tiga tahun baharu kami untuk tahun 2022 hingga 2024 iaitu "Together We Progress 24 (TWP24)", ia akan memacu aspirasi kami untuk menjadi peneraju dalam kecemerlangan perkhidmatan," katanaya.

Pendapatan berasaskan dana bersih kumpulan meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM1.47 bilion tahun ke tahun berikutan peningkatan 2.7 peratus dalam pendapatan berasaskan dana kasar, disokong oleh pinjaman kasar dan pertumbuhan pembiayaan sebanyak 7.0 peratus.

Bagaimanapun, pendapatan bukan berasaskan dana turun 20.3 peratus kepada RM432.7 juta, disebabkan pendapatan yuran yang lebih rendah dan pendapatan dagangan dan pelaburan bersih, diimbangi oleh lebihan pengunderaitan insurans lebih tinggi.

Perbelanjaan operasi merosot sebanyak 2.9 peratus kepada RM859.1 juta berbanding setahun lalu.

"Dengan mencatatkan 'JAWS' positif (JAWS adalah istilah teknikal yang menunjukkan pertumbuhan pendapatan melebihi perbelanjaan), nisbah kos kepada pendapatan bertambah baik kepada 45.1 peratus berbanding dengan 46.0 peratus setahun lalu," katanya.

Kumpulan itu berkata, jangkaan kerugian kredit (ECL) berkurangan kepada RM153.8 juta daripada ECL yang lebih rendah atas pinjaman.

"Sejajar dengan itu, nisbah caj kredit tahunan meningkat kepada 0.29 peratus berbanding 0.39 peratus untuk tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

RHB Bank berkata lembaran imbangan dan kedudukan modal kekal teguh dan jumlah aset kumpulan meningkat 2.8 peratus dari Disember 2021 kepada RM297.6 bilion pada 31 Mac 2022.

Aset bersih sesaham ialah RM6.77 dengan ekuiti pemegang saham pada RM28.1 bilion pada akhir Mac 2022.

"Kedudukan modal kami kekal kukuh; Ekuiti Biasa Tahap-1 kumpulan dan jumlah nisbah modal masing-masing pada 16.8 peratus dan 19.4 peratus.

"Pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan itu meningkat 1.4 peratus setakat ini kepada RM201.3 bilion, terutamanya disokong oleh pertumbuhan gadai janji, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Singapura. Pinjaman dan pembiayaan domestik meningkat 1.0 peratus setakat ini," katanya.

Pinjaman terjejas kasar berjumlah RM3.0 bilion pada 31 Mac 2022 dengan nisbah pinjaman terjejas kasar sebanyak 1.50 peratus berbanding 1.49 peratus pada Disember 2021.

Nisbah perlindungan kerugian pinjaman untuk kumpulan itu tidak termasuk rizab yang dikawal selia, mengukuh kepada 125.7 peratus pada akhir Mac 2022, berbanding 122.4 peratus pada Disember 2021.

"Deposit pelanggan meningkat 3.6 peratus tahun setakat ini kepada RM226.5 bilion, ia disebabkan oleh pertumbuhan deposit masa pasaran tetap dan wang sebanyak 5.1 peratus.

"Komposisi akaun simpanan akaun semasa (CASA) berada pada 29.0 peratus sehingga 31 Mac 2022. Nisbah perlindungan kecairan kekal sihat pada 144.8 peratus," katanya.

Anak syarikat milik penuhnya RHB Islamic Bank pula mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM255.1 juta.

"Pembiayaan kasar meningkat 2.2 peratus setakat ini kepada RM76.5 bilion.

"Perniagaan Islam menyumbang 43.5 peratus daripada jumlah pinjaman dan pembiayaan kasar domestik kumpulan, peningkatan daripada 43.0 peratus pada Disember 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 5:27 PM