KHAIRUSSALEH (kiri) pada taklimat prestasi RHB, semalam.
KHAIRUSSALEH (kiri) pada taklimat prestasi RHB, semalam.
Nora Mahpar

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd (RHB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 melonjak kepada RM1.95 bilion, 16 peratus lebih tinggi berbanding RM1.68 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata, peningkatan pendapatan itu dipacu pendapatan pembiayaan bersih yang tinggi, penurunan nilai aset lain dan pendapatan pembiayaan bersih yang tinggi, sebahagiannya diimbangi pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih rendah, overhead dan penurunan nilai pinjaman lebih tinggi.

Beliau berkata, pendapatan berasaskan pembiayaan bersih meningkat 5.4 peratus kepada RM4.55 bilion berbanding setahun sebelumnya disokong peningkatan dalam pinjaman dan pengurusan kos pembiayaan yang berhemat.

“Bagaimanapun, perbelanjaan operasi meningkat 2.9 peratus kepada RM3.18 bilion berbanding tahun sebelumnya berikutan perbelanjaan pelaburan dalam segmen keupayaan dan infrastruktur teknologi.

“Namun penurunan dalam kos sewaan ruang pejabat dan penyelenggaraan mengimbangi situasi itu,” katanya di sini, semalam.

Bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2017, pendapatan bersih kumpulan menyusut 5.9 peratus kepada RM460.1 juta berbanding RM488.8 juta direkodkan suku sebelumnya.

Katanya, jumlah aset RHB Bank RM230.2 bilion setakat 31 Disember 2017 manakala dana pemegang saham meningkat 6.5 peratus kepada RM23.1 bilion.

“Jumlah nisbah modal kumpulan kekal kukuh pada paras 17.2 peratus,” katanya.

Beliau berkata, bagi segmen deposit pelanggan, ia kekal kukuh pada RM166.2 bilion.

Berdasarkan segmen, perbankan peruncitan mencatatkan keuntungan sebelum cukaiRM1.08 bilion, meningkat 3.0 peratus berbanding tahun sebelumnya dipacu pendapatan berasaskan bukan pembiayaan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 3:23 AM