Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Bank, Mohd Rashid Mohamad (kiri) dan Pengerusi RHB Banking Group, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Bank, Mohd Rashid Mohamad (kiri) dan Pengerusi RHB Banking Group, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
BERNAMA

Kuala Lumpur: RHB Bank Bhd telah mengisytiharkan dividen berjumlah 40 sen sesaham atau hasil dividen sebanyak 7.4 peratus dan nisbah pembayaran sebanyak 62.9 peratus untuk tahun kewangan 2021, bayaran tertinggi bagi kumpulan perbankan tersebut.

Pengerusi RHB Banking Group Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata pihaknya berbesar hati mengumumkan bahawa dividen akhir sebanyak 25 sen sesaham, ia telah diluluskan oleh para pemegang saham yang terdiri daripada pembayaran tunai sebanyak 15 sen sesaham dan bahagian boleh pilih di bawah Pelan Pelaburan Semula Dividen sebanyak 10 sen sesaham manakala dividen interimnya sebanyak 15 sen sesaham.

"Kami telah mencapai kemajuan ketara dengan mengharungi satu lagi tahun yang mencabar. Kami amat menghargai kesetiaan, kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh pemegang saham, pelanggan dan pekerja kami," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai program bantuan kewangan telah ditawarkan kepada pelanggannya dengan jumlah kira-kira RM47.4 bilion di bawah bantuan bayaran balik yang memanfaatkan lebih 312,000 pelanggan runcit dan lebih 7,000 pelanggan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana setakat 31 Disember 2021.

"Pada masa yang sama, kami telah menyalurkan bantuan yang amat diperlukan kepada masyarakat setempat, di mana RM9.1 juta disumbangkan untuk usaha berkaitan bantuan Covid-19, program pemerkasaan komuniti, program kecemerlangan akademik untuk belia daripada golongan B40 dan bantuan kemanusiaan," katanya.

Kumpulan perbankan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.62 bilion pada 31 Disember 2021, mempamerkan kedudukan modal dan mudah tunai yang kukuh dalam persekitaran cabaran disebabkan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 5:27 PM