GAMBAR hiasan. Bangunan Bank Negara di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Bangunan Bank Negara di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) buat masa ini belum memutuskan untuk mengeluarkan mata wang digital bank pusat (CBDC) dalam masa terdekat, menurut Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa.

Beliau berkata di Malaysia, sistem pembayaran domestik termasuk Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata terus beroperasi dengan selamat dan cekap untuk menyokong keperluan ekonomi, sekali gus membolehkan pembayaran digital masa nyata.

"Sistem kewangan di Malaysia terus menyokong fungsi ekonomi di samping memenuhi keperluan individu dan perniagaan.

"Bagaimanapun, pihak BNM akan terus menilai secara aktif potensi CBDC untuk mencapai objektif dasar awam," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai strategi kerajaan dalam memastikan rakyat Malaysia terutamanya belia, tidak ketinggalan dalam memahami teknologi blockchain dan pendirian kerajaan berkenaan penggunaan mata wang kripto dalam urus niaga harian serta inisiatif kerajaan untuk mengolah mata wang kripto sendiri (Stablecoin).

Yamani Hafez berkata, landskap pembayaran dan mata wang kripto yang cepat berubah telah mendorong bank-bank pusat untuk menilai kewajaran mengeluarkan CBDC.

"CBDC adalah instrumen pembayaran digital yang dikeluarkan oleh bank pusat dan sedang diteroka dan dikaji oleh pelbagai bank pusat di dunia," katanya.

Yamani Hafez berkata, antara inisiatif kerajaan dalam memastikan rakyat Malaysia terutamanya belia tidak ketinggalan untuk memahami teknologi blockchain adalah penganjuran Persidangan tahunan FinTech SCxSC (SCxSC) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) selama lapan tahun, sejak 2014.

"Pada tahun ini, persidangan SCxSC telah diadakan pada 26 hingga 28 Okt 2021. Daripada keseluruhan yang hadir, 60 peratus adalah kumpulan belia berumur 35 tahun ke bawah," katanya.

Menurutnya kegunaan teknologi blockchain amat luas dan boleh memanfaatkan pelbagai industri, misalnya boleh menyimpan rekod penting dengan selamat dan digunakan untuk mematenkan dan menjejak harta intelek dalam perniagaan dan pelbagai kontrak undang-undang.

"Dalam sektor kewangan, aplikasi pertama pelaksanaan teknologi blockchain adalah dalam mata wang kripto atau mata wang digital seperti Bitcoin," katanya.

Mengenai pendirian kerajaan berkenaan penggunaan mata wang kripto dalam urus niaga harian, aset digital dapat dikeluarkan oleh syarikat untuk tujuan pengumpulan dana tetapi turut tertakluk kepada penerbit yang memenuhi syarat yang ditetapkan SC sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019, katanya.

"Penggunaan mata wang kripto bagi tujuan pembayaran mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah diperlakukan di Malaysia dan bukan merupakan instrumen pembayaran yang dikawal selia oleh BNM.

"Mata wang kripto tidak sesuai digunakan sebagai instrumen pembayaran disebabkan mata wang ini tidak menunjukkan ciri- ciri universal wang," katanya.

Beliau berkata, secara umumnya, mata wang kripto bukan penyimpan nilai dan medium pertukaran yang baik disebabkan keadaannya yang terdedah kepada turun naik harga yang tidak menentu dan pendedahan kepada ancaman siber dan kekurangan dari segi boleh skala.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 1:39 PM