BANK NEGARA MALAYSIA
BANK NEGARA MALAYSIA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) bersama dengan tiga bank pusat lain serta Hab Inovasi Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa (BIS), telah menyelesaikan prototaip yang boleh dikongsi bagi membenarkan penyelesaian antarabangsa menggunakan pelbagai mata wang digital bank pusar (mCBDC).

Diterajui oleh Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, Projek Dunbar membuktikan bahawa institusi kewangan boleh menggunakan CBDC yang dikeluarkan oleh bank-bank pusat peserta untuk melakukan transaksi secara terus antara satu sama lain menggunakan platform yang dikongsi bersama.

"Pengaturan ini berpotensi mengurangkan pergantungan pada pihak pengantara. Sehubungan dengan itu juga, kos dan masa yang diambil untuk memproses transaksi rentas sempadan dapat dijimatkan," kata BNM dalam satu kenyataan.

Bank-bank pusat lain yang terlibat adalah Bank Rizab Australia, Pihak Berkuasa Monetari Singapura dan Bank Rizab Afrika Selatan.

"Projek Dunbar yang berjaya disempurnakan ini telah menghasilkan pemahaman yang bermanfaat tentang bagaimana platform pelbagai CBDC berpotensi untuk menyelesaikan isu yang kompleks dalam ruang pembayaran rentas sempadan," menurut Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Fraziali Ismail.

"Projek ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama bank pusat dalam menyokong pembangunan infrastruktur pembayaran generasi akan datang. Kami berhasrat untuk memanfaatkan pemahaman tersebut melalui pembuktian konsep yang lain bagi meneruskan penerokaan CBDC," katanya lagi.

Projek ini disusun mengikut tiga aliran kerja. Satu aliran kerja memberikan tumpuan pada keperluan dan reka bentuk fungsi pada tahap tinggi, manakala dua aliran teknikal yang bergerak secara serentak dalam membangunkan prototaip menggunakan dua platform teknologi yang berbeza (Corda dan Partior).

"Platform yang dikongsi bersama merupakan model yang paling cekap bagi kesalinghubungan pembayaran, namun model ini paling mencabar untuk dilaksanakan. Projek Dunbar membuktikan bahawa kebimbangan utama mengenai kepercayaan dan kawalan bersama boleh ditangani menerusi mekanisme tadbir urus yang dikuatkuasakan melalui kaedah teknologi yang mantap. Hal ini menjadi asas bagi pembangunan platform global dan serantau pada masa hadapan," kata Ketua Pusat BIS Innovation Hub Singapura, Andrew McCormack.

Dapatan projek juga mengesahkan bahawa sebarang pengaturan yang diwujudkan perlu tertakluk pada tadbir urus yang bersesuaian oleh bank pusat peserta. Hal ini termasuk membenarkan bank-bank pusat mengekalkan kawalan terhadap peraturan yang dikenakan pada peringkat bidang kuasa dan mata wang.

Perincian dan kesimpulan projek ini telah diterbitkan pada hari ini menerusi satu laporan yang menyokong usaha pelan hala tuju G20 untuk menambah baik pembayaran rentas sempadan, khususnya dalam usaha mengkaji dimensi antarabangsa tentang reka bentuk CBDC.

Maklum balas mengenai laporan bersama tersebut boleh diajukan kepada pasukan Projek Dunbar melalui [email protected].

Laporan penuhnya boleh dimuat turun pada : https://www.bis.org/publ/othp47.htm

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 11:28 AM