LIM Yew Hoe
LIM Yew Hoe

FRASER & Neave Holdings Bhd (F&N) akan memberi tumpuan kepada projek pembinaan bumbung solar 10MWp di tiga kilangnya di negara ini dalam usaha syarikat melaksanakan inisiatif pengawasan alam sekitar yang lebih cekap.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, inisiatif serupa sudah dimulakan pihaknya untuk kilang F&N di Thailand pada April tahun ini yang terbukti berjaya mengurangkan penggunaan tenaga dari grid, sekali gus mengurangkan kos serta jejak karbon dalam operasi.

Justeru, kata beliau, tiga kilang terbabit yang masing-masing dua di Selangor iaitu Shah Alam dan Pulau Indah serta satu di Pahang (Bentong) sedang melalui fasa pembinaan bagi projek berkenaan dalam tempoh dua tahun sehingga 2021.

"Projek solar ini adalah sebahagian daripada komitmen pelaburan F&N berjumlah RM30 juta untuk tempoh dua tahun akan datang dalam program tenaga boleh diperbaharui serta projek yang menyumbang kepada kecekapan guna tenaga dan pengurangan emisi karbon.

"Menerusi inisiatif di tiga lokasi ini, kami menjangka akan menggantikan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah keperluan tenaga di Malaysia dengan tenaga bersih menjelang 2022.

"Apabila projek ini siap kelak, penjanaan tenaga solar 10MWp ini juga bakal menghasilkan tenaga boleh diperbaharui yang menyamai penggunaan elektrik untuk 3,700 rumah biasa di negara ini," katanya pada sidang media yang dilakukan secara maya menerusi aplikasi Zoom, semalam.

Mengulas lanjut, jelas Lim, sebahagian besar daripada pelaburan berjumlah RM800 juta oleh F&N bagi perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun lalu memfokuskan kecekapan operasi dan kos menerusi ekonomi skala serta memendekkan laluan ke pasaran berbeza.

Malah katanya, setiap projek turut mempunyai matlamat alam sekitar yang tidak kurang pentingnya.

"Sebagai contoh, gudang baharu F&N di Shah Alam dan Pusat Pengedaran Serantau (RDC) di Rojana, Thailand, yang kedua-duanya dijangka beroperasi pada suku kedua 2021, akan mengurangkan dengan ketara pengalihan dan pengendalian berganda antara kilang-kilang kami dan gudang pihak ketiga.

"Pemasangan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) di kedua-dua gudang pula akan hampir mengetepikan sama sekali penggunaan jentera angkat susun yang secara tidak langsung mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi rumah hijau," tambahnya.

Dalam pada itu, Lim berkata, fokusnya pada tahun depan adalah untuk memastikan semua produk baharu F&N yang dilancarkan pada tahun ini diberi tumpuan khusus untuk dipertingkatkan dalam semua aspek termasuk pemasaran.

"Perancangan untuk memperkenalkan produk baharu bukan fokus utama kami pada 2021 sebaliknya beberapa produk yang diperkenalkan pada 2020 seperti F&N Teh Tarik misalnya, akan diperkukuh dalam pasaran terlebih dulu.

"Kami juga ingin memastikan kejayaan pembukaan pejabat F&N di Dubai sebelum merancang melakukan perkara sama di negara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 7:10 AM