ARANOLS (tengah) bersama Noraini pada majlis  menandatangani MoU dengan MBSJ bagi program Kitar Semula di Subang Jaya. FOTO Ihsan Nestle
ARANOLS (tengah) bersama Noraini pada majlis menandatangani MoU dengan MBSJ bagi program Kitar Semula di Subang Jaya. FOTO Ihsan Nestle
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Nestlé Malaysia (Nestlé) memperluas program Kutipan & Kitar Semula Pintu ke Pintu ke Subang Jaya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, program berkenaan adalah inisiatif sukarela Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) Nestlé bertujuan mengurangkan pengeluaran sisa isi rumah dan melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu di kawasan perbandaran.

Menurutnya, peningkatan kegiatan kitar semula menerusi pengasingan dan pengumpulan di peringkat akar umbi adalah elemen utama ke arah mencapai komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap kelestarian alam sekitar.

"Sejak pelancaran program pada 2020, Nestlé mencatatkan penyertaan hampir 80 peratus isi rumah dan berjaya mengumpul hampir 600 tan bahan kitar semula kering campuran (DMR).

"Ia sekali gus membuktikan dengan proses dan panduan sewajarnya, rakyat Malaysia sanggup menyertai usaha kitar semula.

"Nestlé juga sukacita bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk terus meluaskan liputan kawasan projek kutipan di kaki lima kami," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Nestlé menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MBSJ bagi menandakan komitmennya terhadap masa depan bebas sisa.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan.

Aranols berkata, melalui kerjasama itu, pihaknya akan meningkatkan liputan kepada kawasan kediaman lebih luas sejajar wawasan memastikan tiada pembungkusan, termasuk plastik, berakhir di tapak pelupusan sampah atau dibuang sebagai sampah sarap.

"Ia bukan saja mencegah sisa pepejal daripada dihantar ke tapak pelupusan sampah tetapi mewujudkan ekonomi kitaran di Malaysia, sejajar komitmen Nestlé memastikan 100 peratus pembungkusan kami boleh dikitar atau diguna semula menjelang 2025.

"Langkah ini juga akan meningkatkan usaha mengurangkan penggunaan dan kebergantungan kepada plastik mentah," katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, setiap tahun, Malaysia menghasilkan 14 juta tan sisa pepejal perbandaran dengan sebahagian besar daripadanya sisa makanan dan plastik.

"MBSJ mengalu-alukan kerjasama dengan Nestlé dan diharapkan program ini mendapat maklum balas dan sokongan yang baik daripada penduduk serta diperluaskan lagi ke kawasan perumahan lain." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 8:41 PM