Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga dari kanan) ditemani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nestlé Malaysia, Juan Aranols (dua dari kanan) ketika membuat lawatan di loji janakuasa biojisim pada Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biojisim Baharu di Kompleks Perindustrian Chembong. FOTO AZRUL EDHAM
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga dari kanan) ditemani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nestlé Malaysia, Juan Aranols (dua dari kanan) ketika membuat lawatan di loji janakuasa biojisim pada Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biojisim Baharu di Kompleks Perindustrian Chembong. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi

Rembau: Nestlé Malaysia meneruskan usaha penjagaan kelestarian alam sekitar menerusi pembangunan Loji Janakuasa Biojisim baharu di kompleks perindustriannya di Chembong, di sini, yang menempatkan kilang Milo terbesar di dunia.

Sebagai komitmen terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), loji yang dapat mengurangkan pelepasan karbon itu memulakan operasi pada hujung tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, loji itu menggunakan tandan buah sawit kosong (EFB) dan tempurung isirung sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

"Bahan itu menggantikan bahan api fosil untuk menjana stim yang digunakan untuk proses pemanasan dalam operasi pengeluaran.

"Pendekatan ini ialah sebahagian daripada kitaran karbon semula jadi dan tidak menghasilkan emisi karbon jangka panjang, menjadikannya neutral karbon," katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian loji berkenaan yang disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, hari ini.

Aranols berkata, usaha inovatif itu seterusnya dapat mengurangkan emisi karbon dioksida (CO2) bersih dengan ketara berbanding bahan api fosil dan juga membantu mengurangkan gas rumah hijau.

"Kemudahan ini diunjurkan akan mengurangkan emisi gas rumah hijau kilang dengan ketara, iaitu sejumlah 14,000 tan CO2e setara setahun, dan secara langsung dapat mengurangkan pencemaran, bahan buangan ke kambusan tanah dan melindungi sumber semula jadi yang berharga.

"Nestlé bekerjasama dengan rakan teknologi ENCO Systems Sdn Bhd untuk membangun dan memasang loji yang serba lengkap ini yang bernilai RM18 juta.

Beliau berkata, pihaknya berbangga meraikan perjalanan kilang berkenaan yang menjangkau usia 30 tahun dengan pelaburan ke arah kelestarian alam sekitar.

"Dengan pemasangan loji dan penggunaan bekalan tenaga elektrik boleh diperbaharui, Milo kini mengambil langkah ke arah masa hadapan yang lebih lestari.

"Milo terkenal dengan warna hijau dan kami ingin menjadikan Milo lebih 'hijau' demi bumi dan seluruh rakyat Malaysia, dengan penggunaan teknologi lebih bersih, yang terus menyokong langkah kami untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta amat penting untuk mencapai sasaran memulihara dan memelihara sumber alam semula jadi.

"Saya amat kagum dengan syarikat yang berpandangan jauh seperti Nestlé, berusaha gigih dalam inovasi mereka yang lebih mengutamakan matlamat kelestarian alam sekitar dalam perniagaan mereka.

"Kita semua maklum bahawa kawasan perindustrian sememangnya akan berhadapan dengan isu pelepasan gas karbon yang tinggi kerana penggunaan bahan api.

"Jika lebih banyak industri bertukar kepada penggunaan teknologi tenaga hijau seperti usaha pihak Nestle, maka kewujudan kawasan industri selepas ini tidak akan menjadi beban kepada alam sekitar pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 5:37 PM