KHADIJAH  (kanan) bersama   Sazali (tengah) merasmikan logo Bahasa Isyarat Agrobank di Lembaga Pertubuhan Peladang. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
KHADIJAH (kanan) bersama Sazali (tengah) merasmikan logo Bahasa Isyarat Agrobank di Lembaga Pertubuhan Peladang. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

AGROBANK menawarkan kursus pemasaran digital dalam talian secara percuma kepada usahawan berdaftar dengan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia melalui Program Zero Cost Marketing bagi membantu komuniti itu memperoleh pendapatan.

Penanggung Tugas Presiden yang juga Ketua Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, program itu akan diadakan selama dua hari seminggu bagi tempoh tiga bulan.

"Mereka yang layak akan dibekalkan dengan modul latihan pembangunan sosioekonomi menerusi kelas bimbingan komprehensif.

"Program latihan ini akan memberi fokus untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan usahawan ahli bagi membekalkan mereka dengan kemahiran berkaitan pemasaran secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Agrobank dan Komuniti sempena Hari Tongkat Putih Kebangsaan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini, semalam.

Penyerahan sumbangan sebanyak 100 tongkat putih itu disampaikan Khadijah kepada Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Mohammad Nazari Othman.

Turut hadir, Presiden Orang Pekak Malaysia, Sazali Shaari.

Khadijah berkata, inisiatif itu selaras dengan hala tuju dan strategi perniagaan Agrobank yang turut menawarkan pelbagai produk khas untuk komuniti orang kurang upaya (OKU) di Malaysia seperti Agro Nurani serta Agro Bakti.

"Kami percaya dengan menawarkan kursus sebegini, ia mampu menyediakan komuniti ini dengan ilmu dan pengetahuan baharu berkaitan trend perniagaan semasa.

"Ia membolehkan mereka meneroka peluang pasaran perniagaan digital untuk menjana pendapatan sendiri terutama dalam tempoh sukar ketika ini," katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan sumbangan Agrobank sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Orang Pekak Malaysia.

Persatuan itu menyediakan simbol bahasa isyarat khas yang membawa maksud Agrobank yang juga bank pertama mempunyai simbol khas berkenaan.

hm2610agroku

Pemangku Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar ( kanan) bersama Presiden Orang Pekak Malaysia Sazali Shaari (dua kiri) merasmikan Logo Bahasa Isyarat Agrobank pada program Agrobank dan Komuniti Sempena Hari Tongkat Putih Antarabangsa di Lembaga Pertubuhan Peladang. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 7:20 AM