GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

AGROBANK mengenal pasti lima kumpulan sasaran usahawan agro untuk diberikan bantuan kewangan di bawah Skim Pembiayaan Mikro Kredit bernilai RM350 juta yang diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar berkata, kumpulan tersebut adalah usahawan agro di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), nelayan, petani padi, syarikat baharu dan pengusaha mikro sedia ada.

"Tujuannya untuk menyediakan modal operasi bagi pemulihan perniagaan dan dianggarkan lebih 14,000 usahawan mikro bakal mendapat manfaat daripada dana ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai institusi kewangan pembangunan yang diberikan mandat untuk mendukung pertumbuhan sektor pertanian di negara ini, katanya Agrobank komited untuk menyediakan pembiayaan dan penyelesaian kewangan yang relevan kepada komuniti agro.

"Akses kepada kewangan penting untuk memulakan dan menjana semula perniagaan yang terkesan akibat wabak ini. Kami percaya bahawa pengusaha akan mendapat manfaat daripada kadar rendah dan tidak memerlukan sebarang jaminan," katanya.

Pada 8 Jun, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan dana kredit mikro bernilai RM350 juta sebagai bantuan kepada usahawan agro yang terjejas oleh Covid-19.

Ini susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi tujuan pembiayaan kredit mikro melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di bawah Dana Agromakanan.

Dana ini bertujuan untuk memastikan kelestarian dalam sektor pertanian dan komoditi dengan memberikan bantuan kewangan kepada pengusaha mikro khususnya komuniti agro, di bawah kategori B40 yang terlibat dalam perusahaan pertanian dan pengeluaran makanan.

Khadijah berkata bagi menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan dan terpinggir, Agrobank secara aktif bekerjasama dengan rakan strategik seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), FELDA, Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM), kerajaan negeri Pahang dan Sarawak serta banyak lagi untuk memberi peluang dan memperkasakan kumpulan B40.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 1:51 PM