BANGUNAN Agrobank. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Agrobank. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Agsrobank menyifatkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu sebagai selari dengan pelan pemulihan Agrobank dalam menyokong pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, sejak tahun 2020, Agrobank mengumumkan bulan Jun sebagai Bulan PKS Agrobank.

"Matlamatnya adalah untuk mengetengahkan kepentingan dan sumbangan besar sektor PKS, khususnya pengusaha dalam perniagaan agro terhadap kehidupan, komuniti dan ekonomi melalui pelbagai program yang telah dijalankan oleh Agrobank.

"PKS adalah tulang belakang kepada sektor ekonomi negara. Kami percaya bahawa, sumbangan mereka kepada ekonomi harus dihargai, dan mengetengahkan bagaimana PKS menghadapi perubahan landskap perniagaan dan Pelan Pemulihan Negara berjaya menangani perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sehingga Mei 2021, Agrobank meluluskan pembiayaan berjumlah RM174 juta kepada 14,610 usahawan mikro dan PKS di bawah pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Agrobank akan terus menyokong pelanggan kami menerusi pelbagai inisiatif yang ditawarkan kerajaan. Sebagai institusi kewangan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan kemajuan komuniti dalam industri pertanian, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu pelanggan kami yang berhadapan masalah kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 8:39 AM