TELEKOM Malaysia Bhd (TM) dan anak syarikat milik penuh Astro Malaysia Holdings Bhd, Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd memeterai perjanjian untuk bekerjasama membawakan pengalaman digital berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.

Menerusi kerjasama strategik ini, TM menerusi TM Wholesale menyediakan himpunan lengkap penyelesaian infrastruktur dan sambungan yang merangkumi semua peringkat perkhidmatan borong, termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), bandwidth, backhaul dan akses internet kepada Astro.

Infrastruktur rangkaian fiber meluas dan mantap ini membolehkan TM serta Astro menyediakan sambungan berkualiti tinggi yang diyakini kepada pengguna akhir masing-masing.

Kerjasama turut menzahirkan komitmen kedua-dua syarikat menyokong inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi menyediakan liputan jalur lebar lebih meluas dan pengalaman lebih baik di seluruh negara.

Kedua-dua syarikat dalam satu kenyataan bersama berkata, menerusi perkhidmatan HSBB TM, Astro turut berupaya menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada pelanggan tanpa perlu membangunkan infrastruktur baharu sambil memperluaskan liputan ke kawasan lebih luas di seluruh negara melalui rangkaian fiber.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi perkhidmatan internet, penyelesaian akses internet TM membolehkan Astro menawarkan sambungan internet berprestasi tinggi dan penyelesaian menyeluruh kepada pelanggan.

"Bagi melengkapkan perkhidmatan itu, TM turut menyediakan Rangkaian Penyampaian Kandungan TM (TM CDN), iaitu perkhidmatan platform kandungan yang baru dibangunkan untuk memberikan kandungan digital lebih lancar, pantas dan selamat kepada Astro.

Perjanjian itu dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dan Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md Deris, manakala Astro diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Henry Tan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Shafiq Abdul Jabbar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 7:20 AM