BANGUNAN TM di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN TM di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


TELEKOM Malaysia Berhad (TM) menerusi unit global dan borongnya, TM Wholesale dan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menjalin kerjasama bagi liputan perkhidmatan akses jalur lebar seluruh negara.

Kerjasama ini menggambarkan komitmen kedua-dua syarikat dalam membawakan pengalaman digital terbaik kepada pelanggan Digi di Malaysia menerusi sambungan fiber TM yang berdaya tahan.

Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md Deris berkata, sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi dan digital negara untuk memacu aspirasi Digital negara, TM sentiasa menyokong teguh perkongsian infrastruktur dan kolaborasi peringkat industri ini.

"Kami teruja dapat memeterai satu lagi kolaborasi dengan Digi yang menggambarkan komitmen bersama kami dalam memastikan sambungan yang menyeluruh, stabil dan sentiasa tersedia untuk rakyat Malaysia, di mana perkara ini terus menjadi elemen penting bagi merancakkan semula ekonomi negara pasca pandemik Covid-19 dan seterusnya.

"Kerjasama ini akan menggunakan perkhidmatan rangkaian HSBB kami sebagai platform memperkukuhkan komitmen kami ke arah memacu penerimaan jalur lebar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di bawah perjanjian ini, TM akan menyediakan Perkhidmatan Rangkaian rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) Peringkat 3 kepada Digi, justeru membolehkan penyedia perkhidmatan digital itu meluaskan kedudukannya ke lebih banyak lokasi seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian fiber TM yang meluas dan mantap.

Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat berkata, kerjasama dengan TM ini membolehkan Digi menghubungkan tiga juta isi rumah lagi di seluruh negara.

"Dengan perkhidmatan internet fiber, justeru memberikan lebih pilihan kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman sambungan menyeluruh, sama ada ketika di rumah atau di luar rumah bersama kami.

"Kami sentiasa melihat kerjasama sebagai satu cara positif untuk membawakan akses yang efisien dan meluas kepada rakyat Malaysia seluruh negara dan ini adalah sesuatu yang lebih penting untuk menyokong keperluan sambungan pelanggan kami pada waktu sebegini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:14 PM