TOO (dua dari kiri) bersalaman dengan Mohamad Rozaimy selepas menandatangani perjanjian kerjasama antara TM dengan U Mobile semalam.
TOO (dua dari kiri) bersalaman dengan Mohamad Rozaimy selepas menandatangani perjanjian kerjasama antara TM dengan U Mobile semalam.
Oleh Afiq Hanif

Kuala Lumpur: Pelanggan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), bakal memperoleh perkhidmatan lebih mantap selepas syarikat terbabit bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi menyediakan sambungan ‘backhaul’ menerusi TM Next-Gen Backhaul (NGBH).

Ia sekali gus menunjukkan komitmen berterusan syarikat telekomunikasi berkenaan memperoleh kualiti rangkaian terbaik menerusi perjanjian yang dimeterai untuk tempoh sembilan tahun.

Naib Presiden Eksekutif, Global dan Peruncitan TM, Mohamad Rozaimy Abd Rahman berkata, kerjasama itu membantu mengelak berlakunya duplikasi infrastruktur rangkaian dan langkah strategik pengendali mudah alih untuk menjadikan operasi mereka lebih efisien.

“Kami juga melihat usaha sama ini sebagai satu langkah positif ke arah membawakan pengalaman perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada rakyat Malaysia apabila mereka mengakses kandungan digital jalur lebar tinggi, ‘stream’ video berdefinisi tinggi atau mengaktifkan aplikasi masa nyata menerusi peranti mudah alih mereka,” katanya.

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Too Tian Jen berkata, sebagai syarikat telekomunikasi berorientasikan data, ia memperkenalkan pelbagai produk khusus buat pasaran yang diselarikan dengan trend Internet mudah alih sejak beberapa tahun lalu.

“Kepuasan pelanggan sentiasa dekat di hati kami dan ia perlu disokong infrastruktur rangkaian yang mantap. Kami akan terus melabur dalam rangkaian kami bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman pelanggan terbaik di pasaran,” katanya pada majlis perjanjian kerjasama yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck, semalam.

Di bawah kolaborasi ini, TM akan menyediakan sambungan backhaul gentian mudah alih menerusi perkhidmatan NGBH sehingga 1Gbps di setiap lokasi yang meliputi kawasan tengah, selatan, timur dan utara negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:16 AM