Tangkap layar aplikasi Disney+ Hotstar.
Tangkap layar aplikasi Disney+ Hotstar.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Astro Malaysia Holdings Bhd muncul sebagai pengagregat perkhidmatan penstriman dan jalur lebar selepas menjalinkan kerjasama dengan Disney+ Hotstar baru-baru ini, kata Citi Research.

Menurut firma penyelidikan itu, lebih banyak tawaran seperti itu akan muncul pada suku akan datang yang membolehkan kandungan pelbagai platform dan syarikat berkaitan pengguna mengumpulkan platform penstriman dilengkapi kandungan tempatan dan vernakular.

"Kami berpendapat inisiatif tersebut adalah langkah positif ke arah Astro mencapai model perniagaan yang mampan walaupun pada margin lebih rendah jika dibandingkan dengan perniagaan siaran televisyen berbayar tradisional Astro yang kami anggap mengalami penurunan daripada segi struktur," katanya dalam nota penyelidikan semalam.

Citi Research juga berkata perkhidmatan jalur lebar tetap Astro mampu membantunya untuk merancang memberi tawaran menarik kepada pengguna.

Disney+ Hotstar dilancarkan di Malaysia pada 1 Jun 2021, menawarkan perkhidmatan sama seperti Netflix serta turut bekerjasama dengan Astro.

Citi Research berkata Disney+ Hotstar berharga RM18 sebulan untuk perkhidmatan kendirinya tanpa Astro tetapi Astro menawarkan pada harga RM5 sahaja sebulan sebagai saluran tambahan untuk pelanggan 'Movies Pack'.

Citi Research berkata Disney+ Hotstar juga bergabung dengan laman web penstriman filem dan video, iQiyi serta perkhidmatan penstriman video berdasarkan permintaan, HBO GO, sebagai satu lagi perkongsian kandungan yang menarik yang disatukan oleh Astro.

"Kami melihat Astro mendapat keuntungan daripada filem yang ditayangkan di platformnya kerana operasi pawagam masih ditutup.

"Lebih-lebih lagi, ia kekal berada di hadapan kerana kandungan tempatan dan vernakular," katanya.

Selain itu, Citi Research berkata peluang menawarkan perkhidmatan jalur lebar di bawah Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) bermaksud Astro dapat merancang menawarkan banyak pilihan kepada pengguna dalam satu sistem pengebilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 8:18 PM