BANGUNAN MDEC. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN MDEC. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Lebih 489,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro sudah menerapkan e-dagang dalam perniagaan mereka manakala 378,000 PKS sudah dilatih dalam e-dagang melalui inisiatif dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, jumlah PKS yang mengeksport barangan juga meningkat secara drastik kepada 27,000 berbanding 1,800 selain berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk penubuhan hab e-penyampaian serantau.

Katanya, laporan suku pertama keluaran dalam negara kasar (KDNK) menyaksikan indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang, mencatat pertumbuhan 18.3 peratus dari tahun ke tahun.

"Ini akan memberi keyakinan dan seterusnya memacu pertumbuhan serta mengembangkan ekonomi digital serta bertepatan dengan usaha kita mewujudkan masyarakat yang inovatif, inklusif dan terintegrasi teknologi sejajar dengan Malaysia 5.0.

"Pada masa sama, MDEC akan meneruskan sokongan kepada ekonomi digital dengan tumpuan ke arah penerimagunaan teknologi digital dalam kalangan PKS dan usahawan mikro," katanya dalam kenyataan.

Ini juga sudah dibuktikan menerusi peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh sektor berkenaan sehingga Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran e-dagang utama di Asean berdasarkan jangkaan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) yang mampu mencecah AS$11.4 bilion tahun lalu iaitu peningkatan enam peratus dari tahun ke tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MDEC mengalu-alukan laporan suku pertama KDNK negara yang memberi petunjuk dan hasil oleh kerajaan dalam memacu pemulihan ekonomi negara.

"Sehubungan itu, MDEC akan terus memberi sokongan diperlukan kepada syarikat tempatan serta anak unicorn tempatan yang berpotensi untuk muncul sebagai syarikat unicorn dan seterusnya mengembangkan sayap ke pasaran global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 9:42 AM