FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengunjurkan pasaran e-dagang Malaysia mampu melepasi nilai RM1 trilion tahun ini, disokong melalui pendekatan dalam Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang (NESR) yang diterajui MDEC.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, berdasarkan data yang dimiliki pihaknya dan juga trend semasa yang ditunjukkan, MDEC yakin ia boleh melebihi nilai RM1 trilion pada tahun ini, konsisten dengan sasaran agensi itu menjelang 2025.

Katanya, menurut Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), buat pertama kali dalam sejarah, pendapatan e-dagang Malaysia berjaya melepasi paras RM1 trilion pada 2021.

"MDEC berada di landasan tepat dalam mencapai aspirasi negara, iaitu merekodkan RM1.65 trilion menjelang 2025, terutama disokong dengan Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang (NESR).

"Bagi pencapaian luar biasa yang dicatatkan pada tahun lalu, kita boleh sandarkannya dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyumbang kepada lonjakan ketara transaksi e-dagang.

"Justeru menerusi inisiatif peningkatan kemahiran digital terbesar Meta di Malaysia ini, bukan sahaja satu pencapaian penting bagi mereka, malah untuk negara dalam perjalanan kami untuk menjadi negara digital.

"Selain itu, JomCelikDigital Dengan Meta dilancarkan tepat pada masanya kerana Malaysia ketika ini berada di fasa perubahan dalam ekonomi digital," pada sidang media selepas majlis pelancaran JomCelikDigital Dengan Meta secara maya hari ini.

Hadir sama, Pengarah Negara, Meta Malaysia, Nicole Tan.

Mahadhir berkata, inisiatif baharu itu selari dengan program MDEC, #SayaDigital, yang bukan sahaja memberi individu kemahiran digital yang diperlukan untuk berkembang dalam masa depan digital, tetapi juga sebagai daya penggerak yang memacu ekonomi digital Malaysia ke arah mencapai status negara digital yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, #JomCelikDigital Dengan Meta akan membantu rakyat Malaysia membina kemahiran penting di kala pengetahuan digital diperlukan dalam kesemua sektor ekonomi.

Sementara itu, Nicole berkata, semakin banyak perniagaan menggunakan teknologi sebagai satu cara bekerja, maka akses saksama kepada peralatan digital yang bermanfaat menjadi semakin penting, anjuran yang selari dengan matlamat Malaysia untuk menjadi pusat e-dagang di rantau ini dan keseluruhan agenda rangka tindakan ekonomi digital.

"Di Meta Malaysia, kami komited dalam menyokong agenda ekonomi digital negara. Melalui #JomCelikDigital Dengan Meta, kami menyediakan akses saksama kepada sumber digital kami yang menyeluruh agar rakyat Malaysia mempertingkatkan daya saing dalam dunia digital, terutama bagi mereka yang berada di pedalaman serta golongan berpendapatan B40.

"Malah, sejak 2019 lagi, Meta sudah bekerjasama dengan MDEC melalui inisiatif eUsahawan MDEC, dan melatih 2,000 jurulatih yang bertanggungjawab untuk menerapkan nilai ilmu keusahawanan digital program ini bertujuan untuk melatih lebih 5,000 PKS untuk menjana pendapatan tambahan melalui platform digital.

"Pada 2021, bersama MDEC dan kempen Let's Learn Digital, kami menjangkau pencari pekerjaan dan PKS melalui pensijilan pemasaran digital.

"Setakat ini, kami menerima lebih 2,000 pelatih dan memberi pensijilan kepada 1,054 pencari nafkah pada tahun yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 3:15 PM