MDEC yakin usahawan berkembang dalam persekitaran ekonomi digital menerusi latihan yang disediakan.
MDEC yakin usahawan berkembang dalam persekitaran ekonomi digital menerusi latihan yang disediakan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yakin peruntukan khas yang diberikan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) akan memberi nafas baharu kepada lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro tempatan untuk berkembang dalam persekitaran ekonomi digital menerusi latihan yang bakal disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata, kerajaan sudah memberi penekanan menerusi langkah digital untuk memastikan perniagaan mereka terus bertahan di sebalik impak pandemik Covid-19.

"Peruntukan khas untuk mendigitalkan PKS dan usahawan mikro sangat penting kerana sektor e-dagang bakal menyaksikan sumbangan pertumbuhan sebanyak 20 peratus terhadap ekonomi digital tahun ini.

"Ini berdasarkan unjuran Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan walaupun dengan normal baharu yang disebabkan oleh Covid-19," katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, MDEC percaya unjuran berkenaan mampu dicapai dengan pelaksanaan pakej Penjana.

Menurutnya, peruntukan RM25 juta diberikan kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (Glow) yang bertujuan untuk memberi latihan kepada rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan melalui tugasan platform dalam talian satu inisiatif yang tepat pada masanya.

"Pada masa sama, MDEC turut diberi tanggungjawab bersama MYCreative Ventures dan pihak swasta merencanakan pelan pemulihan industri hiburan, kreatif dan acara.

"Ini supaya pemain industri bangkit semula menerusi peruntukan RM225 juta selepas majoriti aktiviti sektor berkenaan terhenti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu," katanya.

Surina berkata, dalam pada itu, MDEC akan terus menyokong agensi kerajaan lain bagi menjayakan kempen Shop Malaysia Online.

"Kempen dapat menggalakkan rakyat berbelanja secara atas talian dengan kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberikan melalui platform e-dagang membabitkan peruntukan RM70 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 7:01 AM