FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

IMPAK buruk pandemik Covid-19 kepada ekonomi global sudah berakhir dan kemerosotan teruk yang melanda ekonomi dunia sejak awal tahun dijangka mencapai paras terendah pada Mei.

Ketua Ekonomi Moody's Analytics, Mark Zandi, ekonomi dunia dijangka pulih sekiranya tiada virus gelombang kedua lebih serius pada akhir tahun ini yang mengganggu semula perniagaan dan pengguna.

Ia turut menjangkakan bank pusat global dan kerajaan akan terus memberi sokongan padu yang diperlukan oleh negara masing-masing.

"Walaupun pandemik ini akan berakhir selepas vaksin atau terapi yang berkesan diedarkan dan digunakan secara meluas, pemulihan ekonomi global tidak akan berlaku secara mendatar pada masa akan datang.

"Terlalu banyak kemusnahan yang berlaku kepada struktur ekonomi. Dengan mengambil kira pelbagai ketidaktentuan, bagaimana unjuran ekonomi global akan memainkan peranan adalah sukar untuk dihalang," katanya dalam laporan analisis bertajuk "Handicapping the Paths for the Pandemic Economy."

Kertas kerja itu mengambil kira pelbagai potensi senario yang diukur menggunakan model makroekonomi global Moody's Analytics melibatkan lebih 100 negara.

Zandi berkata impak buruk dan capaian kemelesetan global akibat Covid-19 adalah tanpa kebiasaan dan sementara tiada penentu rasmi mengenai kemerosotan global, Moody's Analytics' meramalkan bahawa pengembangan ekonomi mencapai puncaknya yang terakhir pada Januari 2020 dengan kemelesetan terburuk pada Mei 2020.

Kemerosotan selama empat bulan itu adalah tempoh paling singkat sejak abad lepas, namun, paling buruk berbanding kemelesetan pada awal 1930-an yang menyebabkan era Kemelesetan Besar selama 10 tahun.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global yang sebenar dijangka menyusut sekurang-kurangnya 10 peratus bagi tempoh antara suku keempat 2019 dan suku kedua 2020. Ini melibatkan kira-kira tiga kali penurunan KDNK semasa krisis kewangan global lebih sedekad lepas.

Skala penurunan aktiviti ekonomi di seluruh dunia sangat menakjubkan. Berdasarkan penilaian yang dibuat oleh pakar ekonominya terhadap lebih 100 negara mendapati, sehingga Mei, setiap negara berkenaan bergelut dengan kemelesetan ekonomi.

Dalam semua kemelesetan ekonomi global yang lepas, terdapat sekurang-kurangnya satu bahagian dunia (beberapa negara) yang menguruskan masalah ekonomi dengan baik dan ia sangat penting untuk pemulihan selanjutnya sebagai pemangkin pertumbuhan global.

China memainkan peranan ini semasa dan selepas krisis kewangan kerana ia menggunakan sumber monetari dan fiskal yang cukup besar untuk menyokong ekonominya yang besar berikutan peranan utamanya dalam rantaian bekalan global kepada sebahagian besar dunia.

Tidak ada negara di dunia yang dilihat memainkan peranan utama itu dalam pandemik Covid-19.

Sementara itu, Zandi berkata pemangkin untuk menamatkan segera kemelesetan ekonomi akibat Covid-19 itu adalah menerusi pembukaan semula perniagaan di seluruh dunia dengan cepat.

China dan negara Asia yang lain adalah yang terawal membuka semula perniagaan mereka pada Mac dan kini berada dalam keadaan yang sama sehingga vaksin yang efektif ditemui.

Ia tidak beroperasi secara penuh. Aktiviti ekonomi sudah kembali berjalan hampir 90 peratus daripada tahap sebelum penularan COVID-19 dengan pelaksanaan beberapa langkah di luar kebiasaan.

Asia masih bergelut dengan kesan virus ini yang menyebabkan beberapa negara seperti Singapura, Malaysia dan Thailand menutup perniagaan dan sempadan.

Pemulihan ekonomi global dan pembukaan semula perniagaan masih berada dalam kesamaran.

"Dasar senario kami, jika wujud pertumbuhan selepas musim panas ini, ekonomi akan terus bergerak ke sisi sehingga ada pengedaran vaksin atau rawatan yang efektif, yang mana kami jangka akan dicipta pada tahun ini atau tahun depan," kata Zandi.

Hanya ada beberapa negara yang mampu membendung penurunan ketara dalam KDNK sebenar pada tahun ini dan KDNK sebenar global dijangka jatuh kepada -4.5 (asas Mei) daripada 2.6 peratus (asas Januari), perubahan yang tidak pernah dijangka berbanding unjuran yang dibuat pada awal tahun ini.

Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya sehingga ke pertengahan dekad untuk ekonomi kembali normal sepenuhnya berdasarkan kepada pertumbuhan yang dirangsang oleh keperluan bagi membina semula inventori dan permintaan rantaian bekalan global.

Trauma akibat serangan virus ini terhadap ekonomi dunia memungkinkan prospek ekonomi menuju ke pelbagai arah yang lain, bergantung kepada sejauh mana kesan dan bagaimana ia ditangani.

"Kejutan ekonomi global akibat krisis Covid-19 telah pun berakhir, dan kini, kehilangan pekerjaan dan kadar pengangguran mula meningkat.

"Masih agak sukar untuk membayangkan ekonomi global akan meningkat kembali tanpa sebarang vaksin yang berkesan atau rawatan yang boleh diterima pakai, dan dengan sokongan agresif yang berterusan daripada bank-bank pusat serta kerajaan, ekonomi seharusnya mampu bertahan sehingga berita yang lebih baik diterima," menurut Moody's Analytics.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 6:03 PM