FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
minda

KISAH berkaitan kesan buruk wabak Covid-19 kepada masyarakat dunia terutama dari segi ekonomi menghiasi ruangan utama media massa ketika ini. Kebanyakan negara sedang bertarung dengan wabak ekonomi paling pelik dalam sejarah ketamadunan manusia.

Negara maju mahupun yang sedang membangun masih terkial-kial mencari formula terbaik dalam merancakkan semula ekonomi negara.

Kehadiran bahana Covid-19 ini ternyata datang dalam keadaan mencemaskan kerana ia menyerang dunia ketika persekitaran ekonomi global mengalami kelembapan berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Tahun 2020 memperlihatkan situasi ramai pekerja diberhentikan dan dicutikan tidak bergaji, kejatuhan harga minyak dunia, penutupan firma yang tidak berdaya menanggung kos operasi dan naik turun harga emas dunia.

Emas adalah aset yang sangat berharga kerana ia bertindak sebagai simpanan untuk pelaburan, dana bekalan kecemasan wabak Covid-19 dan pelindung kejatuhan nilai wang. Musim Covid-19 menceritakan perihal ketidaktentuan harga emas dunia. Pada April 2020, harga emas mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun berikutan permintaan yang tinggi dunia terhadap logam itu dan khuatir jika wabak Covid-19 itu terus meranapkan ekonomi global.

Jumlah angka kematian disebabkan Covid-19 meningkat saban hari terutama di Amerika Syarikat sehinggakan pelabur di serata dunia terpaksa menjual pegangan dalam aset berisiko (pasaran ekuiti) dan beralih kepada aset selamat (yakni pelaburan emas) sehingga menyaksikan harga emas melonjak tinggi.

Selain itu, kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan antara China dan AS dan langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) melaksanakan langkah pelonggaran monetari besar-besaran menyaksikan dolar AS lebih rendah sekali gus meningkatkan harga emas. Sesetengah penganalisis berpendapat selagi Covid-19 terus memberi impak kepada pasaran, harga emas boleh terus melonjak dan menghampiri RM1,900 seperti yang pernah berlaku pada 2011.

Kenaikan harga emas dirancakkan lagi apabila AS melancarkan program stimulus yang akhirnya akan meningkatkan kadar inflasi pada masa depan. Oleh itu, emas menjadi pilihan pelabur kerana ia terbukti emas adalah pelaburan selamat yang luar biasa serta kalis inflasi.

Kebiasaanya, apabila pasaran global menurun, aset selamat akan menunjukkan keuntungan dan membuatkan pelabur memindahkan wang dari portfolio pelaburan berisiko ke portfolio pelaburan lebih selamat seperti emas demi mengehadkan kerugian ketika berlakunya ketidaktentuan ekonomi.

Umum mengetahui pandemik Covid-19 menyebabkan kemelesetan ekonomi seluruh dunia termasuk Malaysia. Kemelesetan ekonomi malaysia akan menyebabkan kejatuhan nilai wang dan menyebabkan harga emas dalam ringgit Malaysia akan naik.

Oleh itu, kemelesetan ekonomi yang pernah melanda negara pada 1998 dan 2008 membuatkan segelintir pelabur kurang percaya terhadap sistem mata wang kertas lalu memilih melabur dalam bentuk pelaburan emas.

Harga emas meningkat 18 peratus antara Januari sehingga April 2020. Sekitar 5 Ogos tahun ini, harga emas terus meningkat melebihi AS$2,000 seauns atau kira-kira RM300 satu gram. Bagaimanapun, mutakhir ini, Presiden Russia, Vladimir Putin mendakwa negara itu sudah meluluskan vaksin Covid-19 pertama dunia dan situasi sebegini memberikan gambaran awal kepada pelabur bahawa awan yang mendung mula berarak mencari sinar baharu.

Ia memberikan petunjuk kepada pelabur untuk mengambil keuntungan daripada posisi emas mereka dan beralih semula kepada ekuiti. Langkah peralihan pelaburan ini dikatakan berisiko tinggi kerana jika ekonomi dunia masih lagi ditakuk lama dan berlakunya peningkatan kes Covid-19, keberangkalian untuk pelabur berputih mata adalah tinggi.

Pada 12 Ogos 2020, harga emas susut melebihi lima peratus pada sesi pembukaan minggu ini. Jika vaksin Covid-19 dipasarkan segera, maka awan gelap ekonomi global akan mulai beransur-ansur pergi dan permintaan emas itu berkemungkinan melemah.

Bagaimanapun, masih awal untuk menjangkakan secara total mengenai harga pasaran emas kerana dikhabarkan vaksin Sputnik V yang diperkenalkan RuSsia itu hanya berada pada fasa satu walaupun 20 negara sudah membuat tempahan vaksin itu yang membabitkan lebih satu bilion dos.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memaklumkan ada 168 vaksin Covid-19 dibangunkan di seluruh dunia dan 28 daripadanya sudahpun memasuki fasa ketiga ujian klinikal.

Rakyat di seluruh dunia perlu meneliti sejauh mana vaksin yang diperkatakan Russia itu mampu menangani wabak Covid-19 dan akhirnya berjaya memulihkan ekonomi dunia. Walau apa pun terjadi, emas adalah barangan yang menjadi penyelamat ekonomi masa depan kerana nilainya kian meningkat dan menjadi barangan berharga serta disebut dalam kitabullah.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan

Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 7:00 AM