SURINA
SURINA

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyeru masyarakat untuk beralih kepada platform e-pembelajaran dan alternatif digital sebagai cara untuk mengatasi cabaran semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, rakyat Malaysia, terutama ibu bapa yang perlu bekerja dari rumah, boleh mengambil peluang itu untuk memastikan anak mereka terbabit dalam aktiviti positif dan kandungan yang memberi manfaat untuk memperoleh pengetahuan melalui cara baharu.

“MDEC berpendapat pandemik Covid-19 akan memberi kesan jangka panjang kepada sikap dan tingkah laku terhadap digital di Malaysia, termasuk cara pendidikan disampaikan di negara ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Surina berkata, PKP mendorong kepada penilaian semula ke atas pendekatan tradisional dan penyelesaian penyampaian kandungan yang inovatif oleh sistem pendidikan Malaysia dan ibu bapa.

“Penutupan sementara semua sekolah, institusi pengajian tinggi serta institusi pendidikan awam dan swasta telah mendedahkan kepentingan teknologi digital dalam kehidupan rakyat dan kesan positif daripadanya,” katanya.

Surina berkata, institusi pengajian tinggi yang memberi tumpuan kepada teknologi digital terkemuka iaitu Institut Teknologi Digital Premier (PDTI) dan kolej turut mencari kaedah baharu untuk membangunkan perkhidmatan penyampaian dalam talian dan kandungan digital bagi memenuhi keperluan pelajar dan pelanggan mereka.

Sebahagian PDTI menawarkan kursus e-pembelajaran ialah universiti awam dan swasta seperti Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti HELP.

Ibu bapa yang mempunyai anak di peringkat pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi boleh meneroka platform ini melalui kursus ditawarkan di www.mdec.my dan senarai akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:00 AM