PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), menyedari perlunya saluran bakat holistik untuk meningkatkan kemampuan digital rakyat Malaysia ketika negara sedang menuju ke arah menjadi masyarakat digital.

Naib Presiden Bahagian Kemahiran Digital dan Kerjaya Digital MDEC, Dr Sumitra Nair berkata, pendekatan ini penting memandangkan kemahiran dan literas digital diperlukan oleh semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar, golongan B40 serta pencari peluang kerja yang memerlukan kemahiran tertentu.

"Menerusi ciri-ciri ini, tenaga kerja tempatan menjadi sangat berkebolehan untuk mengisi peluang digital yang ditawarkan sekali gus menjadi hab yang menjangkau setiap kategori masyarakat yang sedang mencari peningkatan digital melalui saluran tertentu," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ketika ini wujud keperluan mendesak untuk menyediakan graduan baharu atau tenaga kerja sedia ada untuk sektor berkenaan.

"Kajian mendapati lebih banyak syarikat 'menjadi' digital apabila sebanyak 91 peratus organisasi mengadaptasi digital dalam operasi masing-masing atau sekurang-kurangnya mempunyai perancangan untuk berbuat demikian.

"Mengikut kajian IDG Business Survey 2019, secara purata RM15.3 juta akan dilaburkan untuk inisiatif digital. Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi sekitar 48.4 peratus pekerjaan di negara ini namun 48 peratus menyedari pekerja mereka kekurangan kemahiran digital.

"Dalam konteks di Malaysia, lapan daripada 10 pekerjaan baharu akan memerlukan kemahiran teknologi digital termasuk penganalisis data dan saintis, pakar Internet Kebendaan (IoT), pakar transformasi digital dan pakar keselamatan siber," katanya.

Menurutnya, bagi mengasi masalah berkenaan, MDEC bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memantapkan ekosistem teknologi pendidikan dan pembuatan di mana gerakan ini memanfaatkan lebih 1.6 juta pelajar sekolah di seluruh negara.

"Kami juga bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI) untuk memastikan kandungan berkaitan industri 'dimasukkan' ke dalam kurikulum 11 universiti dan lima politeknik yang terbabit dengan program ini.

"Kami percaya usaha untuk membina saluran bakat yang merangkumi keseluruhan spektrum harus membabitkan pembabitan generasi pelapis kerana ia adalah kunci untuk mewujudkan tenaga kerja masa depan yang berdaya tahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 7:00 AM