KETUA Pegawai Eksekutif Mdec, Surina Shukri.
KETUA Pegawai Eksekutif Mdec, Surina Shukri.
PENYALURAN geran dilaksanakan oleh Mdec di bawah inisiatif Geran Kreatif Digital 2020 (Belanjawan 2020) dan Geran Kandungan Digital Penjana.
PENYALURAN geran dilaksanakan oleh Mdec di bawah inisiatif Geran Kreatif Digital 2020 (Belanjawan 2020) dan Geran Kandungan Digital Penjana.

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (Mdec) mengumumkan pengagihan geran bernilai RM2.35 juta yang memanfaatkan 47 penerima terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula.

Sebanyak 70 peratus penerima terdiri daripada syarikat industri kandungan kreatif digital, manakala selebihnya membabitkan perkhidmatan profesional (21 peratus), pendidikan (tujuh peratus) dan industri lain sebanyak dua peratus.

Penyaluran geran ini dilaksanakan oleh Mdec di bawah inisiatif yang diumumkan menerusi Geran Kreatif Digital 2020 (Belanjawan 2020) dan Geran Kandungan Digital Penjana.

Ketua Pegawai Eksekutif Mdec, Surina Shukri berkata, inisiatif yang dilaksanakan ini bertujuan memperkasakan perniagaan secara digital yang mana ia sebahagian daripada tiga teras strategik Mdec iaitu Pekerjaan Digital, Perniagaan Digital dan Pelaburan Digital.

"Mdec sentiasa berada di sini untuk menyokong ekosistem digital dan mempercepat penggunaan digital. Pemberian geran ini bertujuan untuk meningkatkan kemampuan dan seterusnya memberi peluang kepada perniagaan untuk menjadi juara di rantau ini," katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, Mdec menilai dan akan mengumumkan senarai penerima geran lain pada waktu ditetapkan.

"Agensi ini sudah membuka ruang kepada PKS dan syarikat pemula untuk berkembang pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dengan memperkasakan bakat digital, membolehkan perniagaan diperkasakan secara digital dan menarik pelaburan sektor digital.

"Menjelang 2025, Mdec yang kini dalam misi Mencipta Semula akan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital Asean," katanya.

Surina berkata, perniagaan pelbagai saiz boleh mendapat manfaat berdasarkan inisiatif sokongan yang sedang dikendalikan oleh Mdec.

Ia merangkumi pelbagai kategori geran yang ditawarkan untuk industri berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:55 AM