MYCLAAZ.COM merekodkan nilai transaksi  RM500,000 selepas enam bulan dilancarkan.
MYCLAAZ.COM merekodkan nilai transaksi RM500,000 selepas enam bulan dilancarkan.
Oleh Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Platform e-pembelajaran Myclaaz.com menyasarkan membantu membuka peluang pendapatan kepada graduan dan profesional yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.

Myclaaz.com adalah platform e-pembelajaran yang memberikan peluang kepada orang ramai memasarkan produk berkaitan pendidikan secara digital bukan saja di Malaysia, tetapi global.

Pengasas Myclaaz.com, Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, ia platform e-dagang yang menumpukan kepada penjualan produk dan servis pendidikan.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 mencetuskan lonjakan baharu dalam digital serta mengubah kebiasaan selama ini dalam pendidikan.

Katanya, pembelajaran secara fizikal ketika ini digantikan secara dalam talian, sekali gus memberikan satu peluang baharu dalam menjana pendapatan kepada individu yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam sesuatu bidang.

"Lantaran itu, Myclaaz.com membuka peluang kepada orang ramai memasarkan produk pendidikan seperti e-buku, e-nota, soalan ramalan, video pengajaran serta servis pengajaran secara atas talian dan fizikal.

"Ia peluang mencipta kerjaya dan meningkatkan pendapatan. Kita sedia maklum, pandemik ini menjejaskan peluang pekerjaan dan meningkatkan kadar pengangguran kepada semua peringkat pekerja.

"Kemahiran yang mereka miliki dalam sesuatu bidang pendidikan boleh dipasarkan secara digital dan mudah melalui platform ini," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Myclaaz.com adalah platform e-pembelajaran berkonsepkan perniagaan ke pengguna (B2C) dan pengguna ke pengguna (C2C) yang menyediakan perkhidmatan pengajaran dan produk pendidikan seperti e-buku, e-nota, soalan ramalan dan video pengajaran.

Ia memberi peluang kepada graduan dan profesional serta orang ramai menjual produk pengajaran dan pendidikan mereka di platform Myclaaz.com kepada pengguna, malah melaluinya orang ramai boleh menduduki kursus pendek pelbagai bidang serta sijil eksekutif bagi yang berjaya menamatkannya.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, Myclaaz.com ketika ini digunakan pengguna dari lebih 10 negara.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, transaksi e-pembelajaran Myclaaz.com datang dari pelbagai negara seperti Arab Saudi, Qatar, Jepun, India, Amerika Syarikat (AS), Emeriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Brunei, Indonesia, Itali, Sepanyol, United Kingdom, New Zealand, Mesir, Oman, Jordan dan Trinidad & Tobago.

Malah katanya, hanya dalam tempoh enam bulan pertama sejak dilancarkan, Myclaaz.com merekodkan nilai transaksi RM500,000.

Katanya, pihaknya turut menyasarkan nilai transaksi itu mencecah RM2 juta menjelang akhir tahun ini.

Ketika ditanya mengenai pelaburan Myclaaz.com pula, Zaharuddin berkata, ketika ini pihaknya menerima pelaburan dari individu pelabur lebih RM500,000.

"Operasi kami turut membuka tawaran kepada pendanaan awam dari syarikat modal teroka (VC) apabila tiba masa sesuai untuk mempercepatkan perkembangan ke peringkat antarabangsa.

"Walaupun baru ditubuhkan lebih setahun, terdapat beberapa pihak dalam dan luar negara berminat melabur dalam platform e-pembelajaran ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:38 AM