MOHD Shukrie  (tengah) bersama sebahagian kakitangan pada Majlis Pelancaran Kempen Tahun Baharu Cina di KLIA.
MOHD Shukrie (tengah) bersama sebahagian kakitangan pada Majlis Pelancaran Kempen Tahun Baharu Cina di KLIA.
Sri Ayu Kartika Amri

MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) komited menarik lebih ramai pelancong ke negara ini menerusi aktiviti dan kempen sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, untuk tahun ini, MAHB menyediakan peruntukan lebih besar bagi menjayakan semua aktiviti yang akan dilaksanakan.

Katanya, selain menyambut TMM2020, pada November depan juga akan berlangsung Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di negara ini.

“MAHB sentiasa berusaha meningkatkan pelbagai kemudahan di setiap lapangan terbang kendalian kami.

“Malah, kami mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk menganjurkan kempen sepanjang tahun ini sekali gus menawarkan ganjaran kepada pengunjung.

“Selain itu, tahun ini kami memanfaatkan teknologi realiti (AR) melalui skrin digital untuk meningkatkan pengalaman perjalanan keseluruhan pelancong,” katanya selepas melancarkan kempen Tahun Baharu Cina MAHB di sini, semalam.

Menurutnya, penggunaan AR itu adalah berbeza dengan yang pernah dilakukan oleh MAHB sebelum ini.

Sempena kempen Tahun Baharu Cina, bermula semalam hingga 9 Februari, penumpang yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dapat merasai aktiviti dan persembahan perayaan di KLIA dan klia2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:01 AM