Syarifah Dayana Syed Bakri


KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan pelbagai pembaharuan institusi bagi memerangi rasuah, melindungi hak kebebasan sivil, meningkatkan kualiti tadbir urus dan memulihkan semula kewangan awam.

Ia bertujuan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap institusi awam, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memulihkan semula reputasi Malaysia di mata dunia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembaharuan institusi adalah asas lonjakan ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang yang lebih mampan dan saksama untuk rakyat.

“Manfaat daripada pertumbuhan ekonomi perlu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat sekiranya Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah ekonomi maju yang stabil.

“Usaha pembaharuan ini telah membuahkan hasil dan menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan dalam mendepani tekanan luaran khususnya berikutan perang perdagangan yang berlanjutan antara China dengan Amerika Syarikat.

“Meskipun kelembapan ekonomi global semakin membimbangkan, namun pertumbuhan KDNK Malaysia meningkat kepada 4.9 peratus pada suku kedua 2019 daripada 4.5 peratus pada suku sebelumnya.

“Pencapaian ini telah meletakkan Malaysia dalam kalangan beberapa negara di dunia yang berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada tahun ini,” katanya dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2020, yang dikeluarkan di sini, baru-baru ini.

Namun katanya, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan matlamat berkenaan dapat dicapai.

“Kerajaan telah menggubal Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) bermatlamat meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia ke tahap yang lebih selesa menjelang 2030.

“Terdapat tiga objektif yang perlu dicapai menerusi agenda Kemakmuran Bersama iaitu menangani ketaksamaan pendapatan dan kekayaan dalam masyarakat; mewujudkan ekonomi bernilai tinggi yang lebih progresif dan membabitkan penyertaan semua lapisan masyarakat serta menjadikan Malaysia sebagai salah satu peneraju utama ekonomi Asia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 6:50 AM