KUALA LUMPUR 21 SEPTEMBER 2022. Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama, Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang media Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau Asia anjuran Cagamas Bhd di ibukota hari ini. NSTP/ROHANIS SHUKRI
KUALA LUMPUR 21 SEPTEMBER 2022. Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama, Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang media Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau Asia anjuran Cagamas Bhd di ibukota hari ini. NSTP/ROHANIS SHUKRI

Ekonomi Malaysia telah pulih daripada pandemik Covid-19 berikutan kerjasama menyeluruh oleh kerajaan, swasta dan masyarakat sivil.

Ketika negara memasuki fasa pemulihan, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2021 disokong oleh penambahbaikan permintaan domestik serta pelaksanaan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi.

Pelaksanaan langkah Bajet 2022 yang mengembang, pembukaan semula semua sektor ekonomi, permintaan domestik dan prestasi eksport yang kukuh telah menyokong momentum pemulihan seterusnya merekodkan pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan sebanyak 6.9 peratus pada separuh pertama 2022.

Secara keseluruhan, prestasi KDNK yang memberangsangkan pada separuh pertama 2022 seiring dengan langkah dan sokongan dasar yang berterusan telah menyediakan asas kukuh bagi Malaysia mencapai unjuran pertumbuhan KDNK antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus pada 2022.

Seiring dengan fokus Bajet 2022, beberapa inisiatif utama telah merekodkan pencapaian yang baik termasuk JaminKerja Keluarga Malaysia sebanyak RM4.8 bilion dengan sasaran pewujudan 600,000 peluang pekerjaan dan SemarakNiaga Keluarga Malaysia sebanyak RM40 bilion iaitu pakej pembiayaan komprehensif bagi menyokong usaha pemulihan dan pembangunan kapasiti perniagaan.

Sehingga akhir Julai 2022, lebih 264,000 rakyat telah memperoleh pekerjaan di bawah JaminKerja manakala hampir 60,000 perniagaan disokong oleh SemarakNiaga.

Sementara itu, 8.7 juta penerima telah mendapat manfaat daripada program BKM manakala 1.7 juta belia menerima kredit e-dompet sebanyak RM150 melalui program e-Pemula sebagai bantuan kepada rakyat.

Seiring momentum pertumbuhan pada 2022, Kementerian Kewangan telah merangka dasar yang responsif, bertanggungjawab dan bersifat pembaharuan yang membantu pemulihan ekonomi di samping meletakkan asas bagi pembangunan yang lebih mampan.

Bagaimanapun, ketegangan geopolitik yang berterusan di Eropah Timur mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek terutamanya peningkatan inflasi global berikutan harga komoditi yang kekal tinggi.

Kerajaan melaksanakan kawalan harga dan menambah peruntukan subsidi barangan dan perkhidmatan penting bagi mengurangkan impak kenaikan harga ke atas ekonomi domestik.

Di samping itu, kerajaan telah menambah baik program Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi membantu golongan B40 menangani peningkatan kos sara hidup.

Pertumbuhan ekonomi China yang sederhana serta dasar monetari global yang lebih ketat merupakan antara risiko yang turut memberi kesan ke atas prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Justeru, pertumbuhan KDNK negara diunjur menyederhana antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada 2023 selaras dengan semakan semula pertumbuhan ekonomi global yang lebih rendah oleh Bank Dunia dan IMF.

Bajet 2023 akan mengutamakan inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengukuhkan kelangsungan perniagaan, menggalakkan kemakmuran ekonomi serta menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi berikutan landskap pertumbuhan yang lebih mencabar.

Ia dirangka berdasarkan tiga bidang tumpuan utama iaitu memperkukuh momentum pemulihan ekonomi, membina daya tahan ekonomi dan memacu pembaharuan yang komprehensif.

Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memantau perkembangan global dan merangka dasar yang bersesuaian untuk mendepani sebarang kejutan luar, bertindak secara responsif bagi melindungi kehidupan dan kesejahteraan rakyat serta memastikan pemulihan perniagaan.

Seiring dengan usaha bagi membina daya tahan sosioekonomi dan pembangunan yang mampan, kita juga sedang menyemai benih kemajuan demi kemakmuran jangka masa panjang anak-anak #KeluargaMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 2:40 PM