ISMAIL Sabri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12. FOTO ihsan RTM
ISMAIL Sabri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12. FOTO ihsan RTM
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dengan matlamat 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan', membolehkan semua rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2025.

Semua strategi dan inisiatifnya juga, sejajar dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RMK-12 adalah pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

"Bagi tujuan ini, tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan diperkenalkan dalam RMK-12.

"Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau 'whole-of-nation approach' yang membabitkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.

"Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata. Sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

"Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya pada sesi pembentangan RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup lebih baik.

"Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi. Secara terperincinya, terdapat empat matlamat utama yang perlu dicapai iaitu yang pertama, pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021 hingga 2025 dan yang kedua, purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada tahun 2025.

"Matlamat utama ketiga adalah jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025.

"Manakala, matlamat keempat adalah pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015," katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi mencapai semua matlamat berkenaan, terdapat sembilan fokus utama RMK-12 iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi; memperkukuh pemangkin pertumbuhan; meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Selain itu, fokus utama turut meliputi membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan, memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia serta melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun.

Fokus utama juga mengambil kira aspek mempercepat pertumbuhan hijau; dan akhir sekali meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 12:52 PM