TZE TZIN (dua dari kanan) bersama Karin  (dua dari kiri),  Tarang  (kiri) dan Pengerusi Dutch Lady Milk Industries Berhad, Datuk Zainal Abidin Putih  pada majlis pelancaran program Farmer2Farmer oleh Dutch Lady Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. FOTO Nurul Syazana Rose Azman
TZE TZIN (dua dari kanan) bersama Karin (dua dari kiri), Tarang (kiri) dan Pengerusi Dutch Lady Milk Industries Berhad, Datuk Zainal Abidin Putih pada majlis pelancaran program Farmer2Farmer oleh Dutch Lady Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. FOTO Nurul Syazana Rose Azman
Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk merancakkan sektor tenusu negara melalui inisiatif pelaksanaan Lembah Tenusu yang dapat meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, Lembah Tenusu akan dibangunkan di lima lokasi iaitu di Muadzam Shah di Pahang, Muallim dan Larut di Perak serta Bernam di Selangor dan satu lagi lokasi yang belum dikenal pasti di Borneo.

Beliau berkata, Lembah Tenusu di Muadzam Shah adalah antara yang sudah beroperasi yang mana ia dikendalikan oleh satu syarikat tenusu utama dan disertai peladang setempat.

Katanya, tiga lagi lembah yang lain kecuali Borneo dijangka dapat mula beroperasi pada penghujung tahun ini dan berharap ia dapat membantu meningkatkan pengeluaran susu segar.

“Kadar pengeluaran susu segar di Malaysia masih rendah iaitu berada pada paras 58.2 peratus dan ia adalah rendah berbanding negara lain menjadikan masih banyak peluang boleh diteroka peladang tempatan.

“Sekiranya dilihat dengan prestasi ladang kita, purata seekor lembu dapat menghasilkan 9.3 liter susu dan seekor lembu di Belanda mampu mengeluarkan sehingga 31 liter susu.

“Oleh itu, dengan adanya lembah ini, ia sedikit sebanyak membantu untuk meningkatkan pengeluaran dari 58.2 peratus kepada 100 peratus dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program Farmer2Farmer oleh Dutch Lady Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Duta Belanda ke Malaysia, Karin Mossenlechner dan Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Tarang Gupta.

Sim berkata, kerajaan akan menjalankan kerja membangunkan infrastruktur di semua lima Lembah Tenusu dan selepas ia siap, ia akan disewa kepada peladang tempatan yang mahu membiakkan lembu-lembu mereka.

Katanya, usaha itu juga dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada import tenusu seperti susu segar dan produk tenusu lain yang berjumlah RM3.9 bilion.

“Jadi, ia adalah peluang perniagaan yang boleh diteroka oleh peserta industri dan peladang kecil dalam industri tenusu di sini dan tidak lagi bergantung kepada import luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 12:00 PM