BAIDZAWI (dari kanan),  Azmi,  Hasni dan Badrul Hisham. FOTO Ihsan JDV
BAIDZAWI (dari kanan), Azmi, Hasni dan Badrul Hisham. FOTO Ihsan JDV
Raja Noraina Raja Rahim


Mersing: Kerajaan Johor dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini, menandatangani perjanjian kerjasama bagi membangunkan projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV).

Projek JDV yang bakal dibangunkan atas tanah seluas 275 hektar di Mersing itu adalah sebahagian daripada inisiatif menjadikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai lembah tenusu negara ini.

ECERDC dalam kenyataan berkata, JDV yang akan beroperasi sepenuhnya pada 2023 dijangka mengeluarkan 5.1 juta liter susu segar setiap tahun, sekaligus meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11 peratus.

Menurut kenyataan itu, peningkatan penghasilan susu segar itu akan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk susu import yang dianggarkan bernilai RM3.9 bilion pada 2019.

Selain itu, katanya, projek berkenaan juga akan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu dan 30 agropreneur di kalangan masyarakat setempat.

"JDV adalah projek perniagaan tani utama di bawah agrofood@ECER iaitu inisiatif bersepadu untuk produk pertanian dan makanan yang merangkumi projek pembangunan Lembah Tenusu ECER.

"JDV mengambil pendekatan bersepadu merangkumi aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran. Ia meliputi semua aspek pengeluaran lembu tenusu termasuk pembiakan haiwan, pengurusan ternakan, pemprosesan susu dan industri berkaitan seperti makanan serta nutrisi haiwan.

"Projek itu akan mereplikasi Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) di Pahang, sebuah projek ECERDC yang terbukti kejayaannya," kata kenyataan itu.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Datuk Dr Badrul Hisham Kassim sebagai wakil Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI).

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Hasni ketika berucap dalam majlis berkenaan berkata, projek JDV menyokong hasrat kerajaan negeri untuk menjadi hab makanan serantau.

"Ia sejajar Agenda Jaminan Makanan Johor dan inisiatif Bank Makanan Johor yang menjadi salah satu daripada tujuh usaha di bawah '7 Ikhtiar Makmur Johor' bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri.

"Kerajaan negeri merancang untuk mengembangkan sektor pertanian selain berhasrat menjadi pengeksport makanan utama serta 'bank makanan' untuk negara pengeksport lain," katanya.

Sementara itu, Baidzawi berkata, JDV adalah salah satu komponen Lembah Tenusu ECER yang dirancang oleh ECERDC bagi mewujudkan industri tenusu yang cekap dan mampan merentasi ECER.

Selain di Jemaluang, katanya, projek sama turut dibuat di Setiu, Terengganu; Pahang Barat dan Lojing, Kelantan.

"Apabila digabungkan, Lembah Tenusu ECER dijangka menghasilkan 40 peratus daripada pengeluaran susu segar tempatan.

"Ini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap susu yang diimport disamping menyediakan peluang pekerjaan dan keusahawanan, seperti petani satelit dan usahawan industri tenusu kepada masyarakat setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 7:10 PM