SEBAHAGIAN penerima sijil penghargaan ‘home dealer’ bersama Najib. Turut kelihatan Adnan (kiri) dan Ahmad Shabery (kanan).
SEBAHAGIAN penerima sijil penghargaan ‘home dealer’ bersama Najib. Turut kelihatan Adnan (kiri) dan Ahmad Shabery (kanan).
PENGARAH Operasi Holstein Azmi Zainal memberi penerangan kepada wakil media di MSCRIC.
PENGARAH Operasi Holstein Azmi Zainal memberi penerangan kepada wakil media di MSCRIC.
PEKERJA membersihkan kawasan lembu tenusu di MSCRIC.
PEKERJA membersihkan kawasan lembu tenusu di MSCRIC.
 KAWASAN ladang yang luas dan selesa di MSCRIC.
KAWASAN ladang yang luas dan selesa di MSCRIC.
PEKERJA memberi makanan kepada lembu ternakan.
PEKERJA memberi makanan kepada lembu ternakan.
Mohamad Hussin


Hasrat kerajaan untuk melihat generasi akan datang lebih sihat dengan pengambilan susu segar mampu dicapai berikutan langkah mewujudkan projek Lembah Tenusu Muadzam yang bakal merancakkan pembangunan industri berkenaan dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sekiranya pengambilan susu segar dalam kalangan rakyat Malaysia ingin ditingkatkan kepada 50 liter perkapita setahun menjelang 2050 maka negara memerlukan 2,260 bilion liter susu segar setahun yang dihasilkan daripada 223,014 ekor lembu tenusu.

Kini terdapat 852 penternak tenusu di Malaysia membabitkan 21,000 ekor lembu tenusu manakala pengeluaran susu adalah 36.5 juta liter susu setahun.

Oleh itu, Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC), sebuah projek perkongsian awam-swasta yang dimulakan pada 2012 oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus diperkukuhkan.

Ia antara usaha kerajaan untuk memacu transformasi sektor perniagaan tani dan meningkatkan sumbangan industri tenusu tempatan sekali gus merancakkan sosioekonomi luar bandar menerusi pewujudan peluang pekerjaan dan keusahawanan.

Penubuhan MSCRIC adalah sebahagian daripada strategi Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan menambah hasil yang dinikmati peladang dan usahawan tani.

Ia membolehkan sektor pertanian berkembang maju menjadi industri yang kukuh selain memastikan bekalan makanan mencukupi selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (2011-2020).

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, MSCRIC menjadi bukti kejayaan model syarikat induk ECERDC, apabila kerajaan menyediakan pelaburan dan pembangunan prasarana manakala sektor swasta pula mengusahakan bahagian komersial.

Beliau berkata, MSCRIC bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan ladang tenusu tempatan, malah membantu meningkatkan jumlah peluang pekerjaan tempatan dalam industri ini.

“Transformasi keseluruhan rangkaian nilai pengeluaran tenusu secara keseluruhan akan turut memberi manfaat kepada warga tempatan menerusi impak sosioekonomi seperti peningkatan aktiviti pekerjaan dan keusahawanan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Selaras dengan agenda transformasi kerajaan, kami komited untuk membina keupayaan industri dengan meningkatkan tahap kemahiran warga tempatan terutama dari kawasan luar bandar bagi memastikan mereka mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri pengeluaran tenusu.

“Ini sebagai tambahan kepada peluang yang bakal disediakan untuk usahawan di sepanjang rantaian nilai tenusu untuk meningkatkan produktiviti, mengembangkan capaian pasaran serta produk inovasi,” katanya sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke MSCRIC di Muadzam Shah, Pahang, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr Sharif Haron.

Projek ini membuktikan kejayaan perkongsian antara entiti awam dan swasta termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), MARDI serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Jebasingam berkata, MSCRIC yang diterajui The Holstein Milk Company Sdn Bhd (Holstein), berjaya mentransformasikan industri perniagaan tani dengan menghasilkan kira-kira 2.56 juta liter susu segar setahun, iaitu sembilan peratus daripada jumlah pengeluaran susu domestik di Semenanjung Malaysia.

“Ia antara jumlah pengeluaran yang tinggi berbanding purata pengeluaran sebanyak 100,000 liter susu segar setahun bagi ladang seluruh Malaysia.

“Apabila kilang pemprosesan tenusu yang baru siap kelak, pengeluaran MSCRIC akan meningkat sebanyak dua kali ganda kepada 5.36 juta liter setahun.

“Kilang baru bersebelahan MSCRIC akan turut mewujudkan 25 peluang pekerjaan untuk warga tempatan sebagai tambahan kepada 53 peluang pekerjaan sedia ada di hab tenusu ini termasuk lima pekerja dari masyarakat Orang Asli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 10:50 AM