NGAN (empat dari kiri) dan McDonald (dua dari kanan) melihat replika projek perbandaran Gamuda Gardens pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU).
NGAN (empat dari kiri) dan McDonald (dua dari kanan) melihat replika projek perbandaran Gamuda Gardens pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU).
Nasuha Badrul Huzaini


SUNGAI BULOH: Pemaju hartanah, Gamuda Land menjalin kerjasama dengan syarikat pelancongan dari New Zealand, Skyline Enterprises untuk membina kemudahan aktiviti lasak dikenali sebagai Luge di dalam projek perbandaran Gamuda Gardens.

Kemudahan Luge menawarkan aktiviti paling mengujakan di dunia iaitu Skyline Luge dan Skyline Zoom Zipline yang pertama kali ditawarkan di negara ini.

Dibina di atas bukit seluas 60,000 meter persegi menghadap pemandangan hijau Gamuda Gardens, projek berkenaan merangkumi trek Skyline Luge sepanjang 775 meter yang direka dengan pusingan, lengkungan dan terowong manakala Skyline Zoom Ziplines pula membolehkan peminat aktiviti lasak untuk berlumba pada kadar kelajuan sehingga 80 kilometer sejam.

Mengulas mengenai kerjasama berkenaan, Ketua Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng berkata, pihaknya teruja kerana menjadi pilihan Skyline Enterprises bagi pengembangan operasi pertama bagi syarikat global berkenaan di negara ini.

“Kami yakin aktiviti Luge yang akan dibina pada ketinggian 45 meter akan menjadi tarikan utama di kawasan perbandaran yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM10.1 bilion ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Skyline Enterprises di Gamuda Gardens Experience Gallery di sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif Skyline Enterprises, Geoff McDonald.

Sementara itu, McDonald berkata, Gamuda Gardens adalah lokasi yang tepat untuk menjalankan aktiviti Luge di bawah kendalian syarikatnya.

“Keunikan yang ada pada pembangunan ini, terutama pemandangan menakjubkan pada tahap tinggi membolehkan kami menawarkan pengalaman terbaik bagi aktiviti Luge dan Ziplines.

“Pembinaan kemudahan Luge dijangka memakan masa antara 18 bulan hingga dua tahun dan ia dijangka mula beroperasi pada suku kedua (S2) 2021,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Gamuda Land turut memeterai perjanjian dengan tujuh lagi rakan kongsi pada majlis sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 7:44 AM