SKYLINE Luge bakal menjadi tarikan baru di Gamuda Gardens.
SKYLINE Luge bakal menjadi tarikan baru di Gamuda Gardens.
Nurul Husna Mahmud


GAMUDA Land bakal membawa tarikan baharu yang pertama seumpamanya di Malaysia iaitu pusat rekreasi Luge di Gamuda Gardens, Sungai Buloh, Selangor.

Usaha itu direalisasikan menerusi kolaborasi syarikat hartanah itu dengan pengendali pusat rekreasi dan hiburan dari Queenstown, New Zealand, Skyline Enterprises dalam satu upacara menandatangani perjanjian secara maya yang berlangsung serentak di Malaysia dan New Zealand, baru-baru ini.

Perjanjian ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng dan Pengerusi Skylines Enterprises, Jan Hunt.

Ia adalah usahasama dua syarikat itu dalam pembinaan pusat rekreasi terbuka menerusi tarikan Skyline Luge, Skyline Skyride dan Skyline Ziplines, di tapak seluas 40,000 meter persegi di Gamuda Gardens.

Hadir sama dalam majlis menandatangani perjanjian ialah Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Aw Sei Cheh, Ketua Pegawai Eksekutif Skyline Enterprises, Geoff McDonald dan Pengarah Malaysia Skyline Luge Kuala Lumpur, Datuk Aria Yogesvaran.

Dijangka siap pada 2023 kelak, taman itu bakal menerima kunjungan 450,000 pengunjung setahun sekali gus melengkapkan inisiatif penempatan Xploria perbandaran yang ada, terutama memberi manfaat kepada penduduk dan masyarakat sekitar.

Menurut Ngan, pembinaan tarikan baharu itu mampu menjadikan Gamuda Gardens sebagai sebuah perbandaran seluas 328 hektar yang muncul antara pemangkin pertumbuhan di Lembah Klang utara.

"Kerjasama dengan Skyline Enterprises adalah salah satu bukti komitmen dan hala tuju pemikiran maju Gamuda Land apabila melihat kepentingan membangunkan komuniti menerusi gabungan komponen kediaman, komersial dan rekreasi.

NILAI tambah terdapat di Gamuda Gardens meraikan
NILAI tambah terdapat di Gamuda Gardens meraikan

"Menyediakan tarikan terbaharu itu juga satu penawaran luar biasa kepada bakal pemilik dan pencari kediaman di seluruh portfolio kami, sejajar dengan kesan pasaran hartanah berikutan pandemik Covid-19.

"Kami menjangkakan minat baharu orang ramai ketika pasca pandemik ialah kepada kegiatan rekreasi luar dan Skyline Luge mewakili inisiatif ini," katanya.

Tambah Ngan lagi, aktiviti itu juga relevan dengan situasi pandemik yang mana mempunyai garis panduan jarak fizikal sesuai bagi keselamatan pengunjung.

Modus perjalanan roda bertenaga graviti Skyline Luge, membolehkan pengunjung meluncur menuruni puncak bukit setinggi 40 meter (m) dengan trek berliku sejauh 600m.

SESI tandatangani perjanjian secara maya antara Gamuda Land dan Skyline Enterprises bagi pembinaan tarikan baru, Skyline Luge, Skyline Zipline dan Skyride di Gamuda Gardens.
SESI tandatangani perjanjian secara maya antara Gamuda Land dan Skyline Enterprises bagi pembinaan tarikan baru, Skyline Luge, Skyline Zipline dan Skyride di Gamuda Gardens.

Sementara itu, Geoff pula mengalu-alukan kolaborasi pihaknya dengan Gamuda Land apabila melihat tarikan itu bakal memberi signifikan impak kepada kota Gamuda Gardens dan penempatan sekitarnya.

"Kami berharap dapat merintis jenama Skyline Enterprises iaitu selaku pengendali pusat rekreasi dan hiburan keluarga ke Malaysia.

"Selain Gamuda Gardens adalah pilihan yang tepat untuk kemasukan sulung kerana kedudukannya tidak jauh dari pusat bandar, Kuala Lumpur dan memiliki penempatan penduduk yang besar.

"Pembukaan pusat ini di lokasi cukup strategik selain mendapat manfaat menerusi kematangan kota Gamuda Gardens dan di sekitarnya dengan kolaborasi bersama Gamuda Land iaitu pemaju antarabangsa di bawah kumpulan Gamuda Bhd yang lebih besar," katanya.

GAMUDA Gardens mampu memajukan Koridor Utara Lembah Klang.
GAMUDA Gardens mampu memajukan Koridor Utara Lembah Klang.

Skyline Enterprises menjangkakan taman ini akan menampung hingga 1.1 juta perjalanan 'luge' setiap tahun, disokong dengan 58,000 perjalanan dari Skyline Zipline dan dilengkapkan dengan Skyline Skyride yang menawarkan perjalanan santai menikmati pemandangan menarik sekitar kota Gamuda Garden dari udara.

Menariknya, di lokasi sama turut memiliki keunikan lain termasuk Taman Sentral, yang mesra haiwan peliharaan seluas 20 hektar, Waterfront Village, Gardens Wellness Club dan taman permainan air Big Bucket Splash serta pusat komersial dan runcit bersepadu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 6:40 AM