Projek
Projek
Sri Ayu Kartika Amri


GAMUDA Land Sdn Bhd, cabang hartanah dan penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan Gamuda Bhd, meletakkan sasaran jualan lebih tinggi sebanyak RM4.5 bilion dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Julai 2020.

Ini berbanding jumlah jualan RM3.1 bilion yang diraih dalam tahun kewangan sebelumnya.

Ketua Pegawai Operasinya, Aw Sei Cheh berkata, peningkatan sasaran itu disandarkan kepada unjuran jualan yang bakal diraih sepanjang tahun ini dan tahun depan daripada projek hartanah semasa dan pelancaran fasa berikutnya, termasuk tiga yang terbesar iaitu di Gamuda Cove, Gamuda Gardens dan di twentyfive.7.

“Sejak empat tahun lalu kami mencatat pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 27 peratus. Dengan rekod pencapaian mantap ini, kami yakin (mencapai sasaran jualan) tetapi banyak perkara yang harus kami lakukan... kami kekal positif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran aplikasi mudah alih terbarunya, Gamuda Land Mobile (GL Mobile) di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng; Pengarah Eksekutif Pemasaran dan Jualannya, Lilian Lung Hian Li; dan Pengurus Besar Kewangannya, David Ng Kit Cheong.

Kumpulan Gamuda mencatat untung bersih RM706.11 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Julai 2019, mewakili peningkatan 33 peratus berbanding RM530.18 juta tahun sebelumnya yang diraih daripada pendapatan yang meningkat kepada RM4.57 bilion daripada RM4.22 bilion.

Rekod jualan tertinggi yang pernah diraihnya ialah sebanyak RM3.6 bilion dalam tahun kewangan berakhir Julai 2018.

GL Mobile adalah aplikasi mudah alih yang menawarkan pembeli dan bakal pembeli pengalaman menyeluruh sepanjang perjalanan pemilikan kediaman mereka dengan Gamuda Land.

Ia sebahagian daripada transformasi digital kumpulan itu, daripada mendapatkan gambaran reka bentuk kediaman yang hendak dibeli hinggalah berfungsi sebagai pemangkin ke arah pelaksanaan teknologi pintar dalam menghubungkan komuniti perbandaran Gamuda Land dengan aktiviti-aktiviti pada masa depan.

Gamuda Cove adalah bandar satelit di kawasan seluas 619 hektar di Kuala Langat, ke selatan Putrajaya.

Pembangunan twentyfive.7 pula adalah perbandaran di kawasan seluas 104 hektar di Teluk Panglima Garang, Selangor, manakala perbandaran Gamuda Gardens merangkumi kawasan seluas 328 hektar di Sungai Buloh, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 9:57 AM