LAI (tengah) bersama Loh (dua dari kiri) pada pelancaran cawangan ke 15,000 AS Watson Group di Central i-City.
LAI (tengah) bersama Loh (dua dari kiri) pada pelancaran cawangan ke 15,000 AS Watson Group di Central i-City.
Sofyan Rizal Ishak

SHAH Alam: AS Watson Group, peruncit kecantikan dan kesihatan antarabangsa terbesar dunia membuka cawangannya yang ke 15,000 di Malaysia melalui salah satu daripada jenama runcitnya iaitu Watsons.

Cawangan itu juga adalah yang ke-500 bagi jenama Watsons di Malaysia selepas pembukaan cawangan pertamanya di Johor pada 1994.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Dominic Lai berkata, pembukaan cawangan baharu AS Watson adalah berterusan sejak empat tahun berturut-turut dengan tempoh purata satu cawangan bagi setiap tujuh jam merentasi 25 pasaran di Asia dan Eropah.

“Kejayaan berterusan perniagaan kami adalah berkait rapat dengan hubungan pelanggan yang menyaksikan keupayaan kami dalam menghubungkan pelanggan dengan produk, trend dan pengalaman yang mereka ingini dalam kecantikan, penjagaan diri, kesihatan dan kesejahteraan.

“Strategi dalam dan luar talian kami turut membantu mengukuhkan hubungan pelanggan melalui rangkaian cawangan meluas, perkhidmatan pelanggan dalam cawangan yang cemerlang, pelbagai produk kecantikan dan kesihatan ditambah dengan pengalaman digital tanpa batas dan program kesetiaan,” katanya di pelancaran cawangan ke-15,000 AS Watson di sini, semalam.

Beliau berkata, cawangan baharu Watsons yang terletak di pusat beli-belah Central i-City itu dilengkapi dengan rekaan yang berinovasi dan mampan berdasarkan kepada konsep premium terkini yang menggabungkan material mesra persekitaran dan teknologi inovatif bagi menggalakkan pembabitan digital pelanggan.

“Cawangan yang memiliki keluasan 4,200 kaki persegi ini dilengkapi dengan teknologi StyleMe dan Augmented Reality (AR), peranti analisis kulit Hi Mirror, perkhidmatan Self-Check Out dan Click & Collect.

“Kami turut menawarkan perkhidmatan terbaharu iaitu Click & Connect Express yang membolehkan pelanggan dalam talian untuk mengambil barang yang dibeli dalam tempoh empat jam di cawangan Watsons sekitar Lembah Klang,” katanya.

Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh berkata pihaknya berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peruncit kecantikan dan kesihatan utama di Malaysia dengan cara tidak hanya menawarkan pelbagai jenis produk namun pengalaman beli-belah tanpa batasan dan tidak ternilai di cawangan Watsons.

“Sempena sambutan ini, kami di Watsons Malaysia bakal menganjurkan kempen promosi istimewa di seluruh negara dengan ahli Watsons ke-15,000 yang melakukan pembelian di cawangan fizikal Watsons atau secara dalam talian di Malaysia akan memenangi trip perjalanan ke Hong Kong untuk dua orang.

“Ahli Watsons juga berpeluang untuk mendapatkan tambahan lima peratus potongan harga dan 500 mata ganjaran dengan pembelian RM50 dan ke atas pada 26 Mac 2019,” katanya.

AS Watson Group kini memiliki 15,000 cawangan di bawah 12 jenama runcit di 25 pasaran seluruh dunia dengan Watsons adalah jenama utama syarikat itu melalui lebih 7,200 cawangan di 13 pasaran di Asia dan Eropah Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 9:55 AM