Siti Nadirah Hafidzin

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Ia ayat yang sering didengari namun jarang diambil peduli dalam kalangan masyarakat.

Kebiasaannya, apabila disahkan menghidapi penyakit baru mula berusaha mencari penyelesaiannya hingga ada yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi demi mengembalikan kesihatan.

Dalam konteks perubatan, mencegah penyakit itu amat dititikberatkan ke atas setiap individu terutama apabila ia berkaitan dengan kanser.

Seperti semua sedia maklum, kanser payudara adalah penyakit yang paling menggerunkan wanita di seluruh dunia. Oleh itu, pengesanan awal amat penting sebagai langkah pencegahan supaya penyebaran kanser itu tidak berlaku dengan pantas.

Terbaru, Watsons Malaysia berusaha memupuk kesedaran awal terutama dalam kalangan wanita mengenai kanser payudara melalui kempen Watsons Pink Ribbon bertemakan ‘Bersama Menuju Kesejahteraan’ dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

Menurut Pengarah Urusan Watsons Malaysia Caryn Loh, kempen itu berlangsung bermula 2 hingga 29 Oktober ini.

“Daripada setiap pembelian jenama produk yang menyertai kempen ini bernilai RM50 dan ke atas, RM1 akan didermakan kepada BCWA.

“Selain itu, pemegang kad ahli Watsons akan mendapat baucar RM10 percuma untuk pembelian di Watsons sebagai tanda penghargaan kami kerana menyokong kempen ini,” katanya.

PELANCARAN kempen Watsons Pink Ribbon, baru-baru ini.
PELANCARAN kempen Watsons Pink Ribbon, baru-baru ini.

Antara jenama produk yang turut serta dalam kempen ini adalah Biore, Bio-essence, Blackmores, Cetaphil, Gatsby, GVC, Hada Labo, Kate, Lifebuoy, Maybelline, Nano White, NH Detox, Nivea, Oral-B, Pure Beauty, Pantene dan Safi.

Pin magnet reben merah jambu yang menjadi simbol kempen ini boleh didapati dengan harga hanya RM5 di cawangan Watsons terpilih atau melalui platform rakan niaga dalam taliannya.

Pelanggan yang membeli pin magnet ini akan menerima pemeriksaan kesihatan percuma yang dilakukan pakar Watsons.

Menurut Caryn, hasil penjualan pin itu turut akan didermakan kepada BCWA bagi menyokong pengesanan awal dan kesedaran umum mengenai kanser payudara.

“Kami mahu bersama-sama mengambil peluang berkomunikasi dan mendidik pelanggan kami dan memberi kesedaran betapa pentingnya pengesanan kanser payudara awal.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 9:15 AM