MOHD Redzuan Md Yusof. FOTO Mohd Yusni Ariffin
MOHD Redzuan Md Yusof. FOTO Mohd Yusni Ariffin
HM Digital

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yakin perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu menyumbang sehingga 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dicapai menjelang tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, usahawan perlu memberi tumpuan dan menembusi sektor eksport serta mengambil peluang yang tersedia di pasaran dunia.

“Fokus kepada cabang eksport juga berpotensi untuk membantu dalam mencapai sasaran 41 peratus sumbangan PKS kepada ekonomi negara.

“Walaupun sumbangan ketika ini sekitar 38 peratus, kita masih yakin ia mampu mencecah 41 peratus menjelang tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) bagi memastikan semua usahawan menyedari misi serta menyahut cabaran dan peluang yang ditawarkan.

“Apa yang penting, kita mahu memajukan sektor keusahawanan negara, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar mahupun hab pemindahan barang.

“Jadi antara usaha yang kita akan laksanakan adalah dengan memberi tumpuan bagi menggalakkan eksport dalam kalangan PKS supaya mereka lebih berdaya maju,” katanya ketika ditemui selepas berucap pada Persidangan Kebangsaan Industri 4.0 di sini, semalam.

Persidangan sehari itu menghimpunkan peserta dan pakar industri bagi membincangkan mengenai masa depan dunia keusahawan dengan kehadiran Industri 4.0 serta teknologi baru.

Hadir sama, Pengarah Kingsley Strategic Institute, Datuk Kamalul Arifin Othman dan Presiden Persatuan SME Malaysia, Datuk Michael Kang.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Redzuan berkata, kumpulan PKS tempatan terdiri daripada 98.5 peratus daripada perniagaan di Malaysia dan untuk kekal kompetitif, mereka perlu berdepan dan mempraktikkan elemen Industri 4.0.

Menurutnya, pada 2017, PKS menyumbang 37.1 peratus kepada KDNK dan menggajikan lebih 70 peratus daripada keseluruhan pasaran pekerja pada tahun berkenaan.

“Malah, berdasarkan Laporan Ekonomi 2018/2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, kebanyakan PKS tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan Internet disebabkan masalah kekurangan kemahiran digital, akses kepada bakat dan kos tinggi.

“Pihak kementerian turut mendapati PKS hanya menggunakan Internet untuk keperluan asas seperti melayari laman web dan berkomunikasi seperti menghantar dan menerima e-mel, perbankan Internet dan berkongsi maklumat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 9:00 AM